Portugal mahu lenyapkan kontroversi
DOHA: Portugal mahu aksi di atas padang ‘bercakap’ untuk mereka apabila berdepan Ghana pada aksi pembukaan Piala Dunia, tengah malam esok di sebalik kontroversi yang melanda Critiano Ronaldo selain hubungan dingin pasukan bersama media.
Portugal yang juga juara Euro 2016 menewaskan Nigeria 4-0 pada aksi pemanas badan terakhir sebelum berlepas ke Qatar, sekali gus memberi kelegaan kepada penyokong susulan aksi hambar sebelum ini.
Namun, Ghana juga membuktikan yang betapa mereka sudah bersedia bagi mengharungi kempen kali ini apabila melakar kemenangan 2-0 ke atas Switzerland dalam aksi persahabatan.
Aksi di Stadium 974 di Doha itu memberi peluang kepada kedua-dua pasukan membuka langkah awal dalam Kumpulan H, yang turut dibarisi Uruguay dan Korea Selatan.
Jurulatih Portugal, Fernando Santos berdepan tekanan hebat daripada media tempatan dan peminat susulan beberapa kekecewaan kebelakangan ini, termasuk tersingkir di pusingan 16 terbaik di Euro 2020, tahun lalu.
Selain itu, wujud kebimbangan dalam kalangan penyokong dengan tanggapan pasukan terlalu fokus kepada Ronaldo yang kini berusia 37 tahun dan melepasi zaman kegemilangannya.
“Suasana dalam bilik persalinan sangat baik, tiada masalah,” kata Ronaldo yang juga pemenang anugerah Ballon D’Or sebanyak lima kali.
“Kumpulan ini kebal. Saya ambil kesempatan sekali untuk untuk menyatakan supaya berhenti bertanya mengenai saya.”
Bagaimanapun, peluang Ronaldo lari daripada tumpuan nampak tipis susulan temu bual di televisyen yang mencetuskan kontroversi apabila dia menyatakan dikhianati Manchester United.
Kontroversi itu mengakibatkan Ronaldo kini disahkan meninggalkan kelab itu berkuatkuasa serta-merta selepas kedua-dua pihak mencapai persetujuan bersama untuk menamatkan kontrak antara mereka.
Ronaldo mengetuai Portugal menjulang trofi Euro 2016, tetapi Piala Dunia tidak memihak kepadanya dan Qatar akan menjadi peluang terakhirnya.
Sebahagian penyokong menyatakan masa Ronaldo sudah berlalu dan mahu pemain berbakat seperti rakan sepasukannya di United, Bruno Fernandes dan Diogo Dalot serta pemain Manchester City iaitu Bernardo Silva, Ruben Dias dan Joao Cancelo diberi peluang untuk menyerlah.
Membarisi Ghana adalah pemain tengah Arsenal, Thomas Partey; pemain pertahanan Leicester City, Daniel Amartey dan penyerang Athletic Bilbao, Inaki Williams.
Otto Addo iaitu pengurus ketiga Ghana dalam tempoh 12 bulan, terpaksa membina semula pasukan selepas prestasi hambar di Piala Negara-Negara Afrika pada awal tahun ini dan membawa lebih ramai pemain dilahirkan di Eropah seperti pemain sayap Brighton & Hove Albion, Tariq Lamptey.
Tetapi, perancangannya terencat apabila kedua-dua penjaga gol utama cedera, sekali gus memaksa penjaga gol ketiga, Lawrence Ati-Zigi yang bermain di St Gallen di Switzerland, menjadi pertaruhan untuk menghalang Ronaldo dan rakannya.
Kedua-dua pasukan pernah bertemu di Piala Dunia 2014 di Brazil apabila Portugal menang 2-1 menerusi jaringan lewat Ronaldo.
REUTERS