Regragui sesali kesilapan kecil Maghribi

AL KHOR, Qatar: Jurulatih Maghribi, Walid Regragui mungkin meletakkan kaki yang salah dalam memburu impian Piala Dunia pasukannya tetapi dia mungkin menyesal mengambil risiko memasukkan pemain yang cedera selepas melihat pasukannya tewas 2-0 pada separuh akhir menentang Perancis.

Nayef Aguerd dinamakan dalam kesebelasan utama tetapi diketepikan ketika memanas badan manakala rakan pertahanan tengah dan kapten pasukan, Romain Saiss juga dikeluarkan selepas 20 minit.

Pertahanan, Noussair Mazraoui menyertai rakan sepasukan itu selepas babak pertama ketika Perancis 1-0 di depan menerusi gol minit kelima Theo Hernandez.



Semua tiga pemain terbabit diragui untuk aksi berkenaan kerana mengalami kecederaan.

Dia kembali mengatur pasukan dan bertarung dengan baik bagi memberi tekanan kepada juara bertahan itu sebelum pemain gantian Randal Kolo Muani meledak pada minit ke-79 yang menamatkan terus pertarungan itu.

“Kami memberikan semaksimum mungkin, itu yang paling penting,” kata Regragui. “Kami ada sedikit kecederaan, kami kehilangan Aguerd ketika memanaskan badan, Saiss, Mazraoui… tapi itu bukan alasan.



“Kami terpaksa membayar harga yang mahal hasil sedikit kesilapan. Kami tidak memulakan perlawanan dengan bagus, kami banyak mensia-siakan aspek teknikal pada babak pertama, dan gol kedua itu membunuh kami, tapi itu tidak menghapuskan semua yang kami lakukan sebelum ini.”

Regragui berkata dia menukar taktik untuk bertahan bagi menangani kepantasan pemain sayap Perancis dan ia berkesan sehingga Kylian Mbappe menghasilkan larian hebat untuk membantu gol kemenangan itu.

Selepas menjadi pasukan Afrika pertama mara ke separuh akhir, Maghribi kini akan berdepan Croatia pada penentuan tempat ketiga Sabtu ini.

REUTERS



Related Articles

Leave a Reply

Back to top button