Penyokong rai kejayaan Perancis ke final

PARIS: Kemeriahan dirasai di Champs-Elysees, di tengah kota Paris apabila penyokong Perancis mengibarkan bendera dan menyalakan suar bagi meraikan kejayaan Les Bleus mara ke final Piala Dunia selepas menundukkan Maghribi 2-0.

Kira kira 10,000 polis dikerah ke serata Perancis bagi memastikan situasi dapat dikawal selepas mengambil kira ketegangan mungkin tercetus antara penyokong Perancis dan penyokong Maghribi yang pernah menjadi koloni Perancis sebelum ini.

Namun situasi tenang apabila penyokong meraikan kejayaan sehingga menyaksikan Arc de Triomphe dipenuhi emosi dan penyokong Maghribi jelas menerima kekalahan pasukan mereka dengan baik.



“Kami di final. Kami final,” ratusan penyokong Perancis bersorak dengan pemandu membunyikan polis selain polis anti rusuhan mengawal keadaan.

“Final yang hebat menentang Argentina. Saya datang ke sini untuk sama sama bergembira,” kata Sylvain Badin.

Beberapa kelompok penyokong Maghribi turut hadir bagi memberikan sokongan dengan mengibarkan bendera sambil menyaksikan perlawanan menerusi telefon bimbit.



“Kami tewas tetapi ini hanyalah bola sepak dan kami sudahpun mencipta sejarah mara ke separuh akhir. Kami bangga dengan negara kami dan gembira untuk Perancis,” kata pelajar Maghribi, Kamal Seddiki.

Sebagai rekod, 170 tangkapan di seluruh negara termasuk 100 di Paris apabila Maghribi dan Perancis mara separuh akhir, awal minggu ini.

 

 



 

Polis anti rusuhan bagaimanapun meleraikan sekelompok penyokong yang cuba menyalakan bunga api di sekitar Arc de Triomphe.

Di Nice, tong sampah dibakar selepas perlawanan sementara di Lyon, polis menggunakan gas pemedih mata apabila penyokong mula menyalakan mercun di Place Bellecour.

Hubungan Perancis dengan Maghribi tidak seteruk jiran mereka, Algeria yang berperang dengan Paris dalam ‘Perang Kebebasan’ selama tujuh tahun yang terus memberi kesan kepada kedua dua negara sehingga hari ini.



Namun seperti hubungan pasca kolonial yang lain, Maghribi yang merdeka pada tahun 1956 masih terkilan dengan Perancis khususnya berkenaan isu visa.

Kira-kira sejuta rakyat Maghribi dipercayai tinggal di Perancis dan pihak berkuasa berada dalam keadaan berjaga-jaga bagi mengelak rusuhan seperti yang berlaku di Brussel selepas Maghribi menewaskan Belgium di peringkat kumpulan.

“Kami gembira untuk Perancis. Kami adalah saudara dan sentiasa bersama sama. Perancis adalah negara kedua kami,” kata Hossam Boutalah. – AFP



Related Articles

Leave a Reply

Back to top button