PM arah misi carilamat dijalankan dengan rapi
Putrajaya: Perdana Menteri sudah mengarahkan supaya misi mencari dan menyelamat insiden tanah runtuh di tapak perkhemahan Father’s Organic Farm awal pagi tadi, dijalankan secara rapi dan sistematik oleh semua jabatan kerajaan terbabit.
Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, beliau juga sudah mendapat maklumat daripada Menteri Pembangunan Kerajaan Tempatan; Menteri Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim serta Menteri Besar Selangor berhubung kejadian berkenaan yang berlaku berhampiran jalan menghubungkan Batang Kali dengan Genting Highlands itu.
“Saya telah mengarahkan agar misi mencari dan menyelamat dijalankan secara rapi dan sistematik oleh semua jabatan kerajaan.
“Saya juga dimaklumkan Menteri-Menteri terbabit turun ke lokasi pada pagi ini,” katanya dalam satu kenyataan.
Anwar berkata, mereka dinasihatkan untuk tidak mengganggu kerja-kerja mencari dan menyelamat yang sedang giat dijalankan ketika ini.
Beliau turut memohon supaya rakyat Malaysia berdoa agar misi carilamat itu dapat dipermudahkan.
“Saya sendiri akan turun ke lokasi malam ini,” katanya.
Media sebelum ini melaporkan, dua mangsa disahkan maut dalam kejadian tanah runtuh di tapak perkhemahan Father’s Organic Farm di Jalan Genting-Batang Kali, awal pagi tadi.
Perkara itu dimaklumkan melalui laman Facebook Korporat JBPM yang memetik Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor susulan insiden membabitkan 79 mangsa jam 2.20 pagi tadi.
METRO