Aktiviti laut dalam, penggerudian PETRONAS kekal positif tahun depan
KUALA LUMPUR: Syarikat minyak dan gas negara, PETRONAS menyandarkan segmen perniagaan pelantar penggerudian, aktiviti perkhidmatan laut serta medan minyak dan gas kekal positif pada tahun hadapan.
Naib Presiden Perolehan Kumpulan PETRONAS, Freida Amat, berkata ini susulan aktiviti pembaikan dan penyelenggaraan yang diperlukan untuk mengekalkan integriti kemudahan luar pesisir.
Beliau berkata, berdasarkan tinjauan untuk kemudahan dasar laut, bekalan saluran paip dan tongkang angkat berat, ia masih kekal stabil memandangkan keadaan semasa jumlah projek yang memerlukan platform ‘wellhead’.
“Unjuran PETRONAS untuk 2023 hingga 2025 memberikan pandangan tentang arah aliran industri, prospek permintaan dan ramalan aktiviti untuk tiga tahun akan datang.
“Ini bagi untuk memastikan industri mengikuti rancangan masa hadapanya.
“PETRONAS turut menjangkakan ketidaktentuan dalam pasaran tenaga akan berterusan dan ini memerlukan peserta industri tangkas dalam bertindak balas terhadap perubahan dalam landskap tenaga dan menerima inovasi sebagai penyelesaian baharu ke arah masa hadapan karbon rendah,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Freida berkata, mengenai kepentingan kerjasama rentas industri pula, ia perlu dilaksanakan kerana industri tenaga ketika ini bergerak ke arah memudahkan peralihan tenaga yang adil.
Beliau berkata, PETRONAS komited untuk bekerjasama dengan rakan kongsi kerana industri mempercepatkan usahanya untuk
operasi nyahkarbon sebagai sebahagian daripada peralihan tenaga yang lebih meluas.
Peralihan kepada tenaga bersih katanya perlu berlaku sekarang, untuk memenuhi landskap tenaga yang berubah-ubah.
Malah katanya, menjelang 2050, ia diunjurkan untuk memerlukan
kerjasama lebih besar dalam kalangan industri.
“Ini bagi membolehkan kita bergerak ke arah mencipta penyelesaian yang cekap untuk pengurusan kos yang lebih baik, meningkatkan tumpuan pelanggan, penciptaan nilai dan penyelesaian yang inovatif.
“Ia penting untuk mengelakkan kehilangan peluang untuk menavigasi peralihan tenaga dengan jayanya,” katanya.
Laporan unjuran PETRONAS untuk 2023 hingga 2025 turut menyentuh visi dan strategi Dasar Tenaga Negara 2022-2040 (DTN) bagi merangsang penembusan tenaga boleh diperbaharui yang lebih besar termasuk mengoptimumkan campuran penjanaan kuasa, pemfaktoran kemajuan teknologi yang pesat, melaksanakan pemboleh fizikal dan pengawalseliaan untuk menampung kuasa
kemajuan sistem serta mempertingkatkan kesalinghubungan sistem grid serantau dan antarabangsa.
PETRONAS turut berkongsi pandangan yang akan memberi impak positif kepada industri antaranya laluan Pelepasan Karbon Sifar Bersih PETRONAS menjelang 2050 (NZCE 2050) untuk memajukan komitmen ke arah mencapai cita-cita masa depan sifar bersih, yang termasuk penyahkarbonan portfolio teras dan penubuhan Gentari Sdn Bhd, sebuah entiti bebas yang memberi tumpuan kepada
menyediakan penyelesaian tenaga bersih.
Aktiviti perniagaan turut dilihat pulih apabila negara membuka semula ekonomi mereka, sekaligus menyumbang kepada lonjakan permintaan.
PETRONAS terus melabur dalam projek besar yang memberikan pertumbuhan serta mengiktiraf projek yang dimainkannya dalam mencapai aspirasi rendah karbon.
Syarikat minyak dan gas negara turut menyatakan komitmen dalam memaksimumkan aset dan kos kecekapan di samping mengekalkan kelebihan daya saingnya.
BHOnline