Rashford mengganas lagi
Manchester, England: Marcus Rashford menembusi gawang lawan dalam enam perlawanan berturut-turut selepas dua jaringan lewatnya membantu Manchester United menewaskan kelab divisyen tiga Charlton Athletic 3-0 untuk mara ke separuh akhir Piala Liga awal pagi tadi.
United yang menampilkan beberapa pemain muda tampil lebih garang pada awal babak pertama dan mendahului pada minit ke-21 hasil rembatan lencung penyerang Brazil, Antony.
Rakan senegara Antony, Fred hampir menambah gol kedua namun sepakan percumanya sedikit tersasar.
United kebuntuan jaringan selepas itu namun Rashford yang masuk sebagai pemain gantian meledak dua gol untuk mengesahkan kemenangan kelapan berturut-turut United dalam semua kejohanan.
Rashford kini menjaringkan 15 gol dalam semua kejohanan musim ini berbanding hanya lima gol musim lalu dan meledak gawang dalam lapan perlawanan berturut-turut di Old Trafford.
“Saya beritahu anda banyak kali. Apabila dia meletakkan dirinya dalam kedudukan itu, satu lawan satu dalam kotak penalti, dia akan menjaringkan gol,” kata jurulatih Erik ten Hag.
“Itu yang dilakukannya ketika itu. Jika dia terus fokus dan terus melakukan seperti itu, dia akan mendapat lebih banyak gol lagi.
“Babak pertama saya gembira tetapi kurang puas hati kerana kami tidak klinikal depan gol. Kami cipta banyak peluang dan sepatutnya dapat lebih jaringan.
“Kadang-kadang kami perlukan lebih banyak hantaran dan kami terpaksa berjuang sehingga penamat. Tetapi kami menjaringkan gol daripada belakang, jadi saya fikir kami semakin bagus.”
Reuters