Newcastle berkongsi mata di Palace
LONDON: Newcastle United melebarkan rekod tanpa kalah mereka dalam Liga Perdana Inggeris (EPL) kepada 15 perlawanan dan enam kali tanpa bolos walaupun seri 0-0 berdepan Crystal Palace awal pagi tadi.
Satu mata daripada pertembungan mengecewakan itu sudah cukup buat Newcastle kembali ke tangga ketiga di atas Manchester United yang akan menentang Arsenal tengah malam ini.
Skuad kendalian Eddie Howe mendominasi babak pertama dengan Joelinton dua kali meraih peluang terbaik namun mereka bergelut mencari jaringan selepas rehat babak pertama di Selhurst Park.
Palace, yang beraksi tanpa Wilfried Zaha kerana kecederaan hamstring pada babak kedua, hampir mendapat gol namun cubaan Jean-Philippe Mateta diselamatkan penjaga gol Newcastle, Nick Pope.
Ia malam yang mengecewakan buat Newcastle selepas keciciran dua mata dalam usaha mengejar kedudukan empat teratas.
“Saya amat gembira dengan pasukan hari ini,” kata Howe. “Kami ada saat itu dan peluang untuk menjaringkan gol tetapi tidak mengambilnya. Kami kecewa tetapi kami ada jangkaan tinggi.
“Palace bertahan sangat baik.”
Palace, yang gagal mencipta kemenangan tahun ini, lega mendapat satu mata ketika mereka melalui perlawanan sukar termasuk seri berdepan Manchester United pada pertengahan minggu.
“Kami tahu ia akan menjadi sukar di Palace tetapi ia mungkin kerana tidak mengambil peluang, tapi satu mata cukup bagus ketika datang ke sini,” kata pertahanan kanan Newcastle, Kieran Trippier.
REUTERS