Newcastle hampiri final Piala Liga

SOUTHAMPTON: Eddie Howe memberi amaran kepada Newcastle kendaliannya yang mereka belum selamat untuk ke final Piala Liga selepas kemenangan 1-0 ke atas Southampton awal pagi tadi.

Joelinton menjaringkan gol tunggal perlawanan di babak kedua aksi di St Mary’s untuk meletakkan Newcastle semakin hampir ke final kejuaraan domestik sejak tahun 1999.

Pemain Southampton, Duje Caleta-Car dibuang padang di akhir permainan yang menjadi tegang selepas gol penyamaan Adam Armstrong untuk skuad kendalian Nathan Jones, dibatalkan oleh VAR kerana terkena tangan.



Newcastle boleh mengesahkan tiket ke Wembley menjelang aksi timbal balik di St James’ Park pada 31 Januari, bertemu pemenang antara Manchester United dan Nottingham Forest di final.

“Ia hari yang baik tetapi perjalanan masih jauh dalam pertemuan ini. Gembira dapat menang, itu matlamat kami, tetapi kami sedar 1-0 terlalu tipis.

“Ia perlawanan yang sukar. Saya rasa kedua-dua pasukan mempunyai peluang mereka. Belum ada kelebihan pada sesiapa. Kami kembali ke St James’ dengan penyokong di belakang kami,” kata Howe.



Howe bagaimanapun mengakui pasukannya bernasib baik apabila jaringan penyamaan Armstrong dibatalkan: “Saya fikir ia adalah gol. Sangat lega apabila VAR masuk campur.”

Newcastle menharungi musim cemerlang di bawah kendalian Howe dengan menduduki tangga ketiga Liga Perdana Inggeris dan mara ke separuh akhir pertama kejuaraan domestik sejak tahun 2005.

Kali terakhir mereka memenangi trofi domestik ialah pada Piala FA 1995.

Final terakhir mereka berakhir dengan kekalahan di tangan Manchester United ketika Piala FA 1999.



AFP

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button