Axia baharu sokong sasaran PERODUA jual lebih 300,000 kereta
SEPANG: Model Axia serba baharu yang akan diperkenalkan tidak lama lagi mampu menyokong sasaran Perusahaan Otomobil Kedua Sdn Bhd (PERODUA) mendaftar 314,000 unit kenderaan untuk keseluruhan 2023.
Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif PERODUA, Datuk Seri Zainal Abidin Ahmad, berkata pengeluar kereta kompak nasional itu turut menyasarkan untuk mengeluarkan sehingga 330,000 unit kenderaan sepanjang tahun ini.
“Selain memberi tumpuan untuk menyelesaikan pesanan tertunggak, kami juga akan melancarkan Perodua Axia serba baharu tidak lama lagi untuk terus merangsang pasaran. Kami percaya cadangan nilai kami akan diterima baik oleh rakyat Malaysia,” katanya pada majlis prebiu dan pandu uji media untuk model Perodua Axia serba baharu di sini, hari ini.
Mengenai model serba baharu itu, Zainal Abidin berkata, PERODUA menukar hampir semua tempahan terdahulu model Axia semasa kepada model yang baharu.
“Penasihat jualan kami menghubungi pelanggan untuk memaklumkan mengenai pertukaran Perodua Axia serba baharu dan kebanyakan mereka bersetuju untuk menukar kepada model baharu ini,” katanya.
Perodua Axia serba baharu yang tempahannya dibuka baru-baru ini akan dijual pada harga bermula RM38,600 hingga RM49,500 seunit.
Model serba baharu Axia itu ditawarkan menerusi empat pilihan varian iaitu G, X, SE dan AV, bagi menggantikan Axia sedia ada ketika ini yang sudah menamatkan pengeluaran pada Disember 2022.
Kesemua varian itu dilengkapi enjin satu liter dengan DCVT (Dwi-Mod Transmisi Boleh Laras Berterusan) dan didatangkan dalam lima warna iaitu Granite Grey, Lava Red, Glittering Silver, Ivory White dan serta warna baharu, Coral Blue.
Sementara itu, PERODUA berjaya menjual 21,449 unit kenderaan pada Januari, melonjak 43.5 peratus berbanding 17,444 unit yang didaftarkan pada bulan sama tahun lalu.
Zainal Abidin berkata, jualan lebih tinggi pada bulan dikaji disokong langkah PERODUA memberi tumpuan kepada pengeluaran dan penghantaran maksimum.
Dari aspek pengeluaran, katanya, PERODUA menghasilkan 24,590 unit kenderaan pada Januari, meningkat sebanyak 40.2 peratus berbanding 17,538 unit yang dikeluarkan pada bulan sama tahun lalu.
“Penting untuk dinyatakan bahawa pada Januari tahun lalu berlaku banjir, kekurangan bekalan cip semikonduktor, isu tenaga kerja dan kekurangan alat ganti lain yang menjejaskan pengeluaran dan jualan.
“Namun, peningkatan dalam jumlah pengeluaran dan jualan menunjukkan bahawa ekosistem sedang berjalan seperti dirancang,” katanya sambil menambah bahawa PERODUA kekal komited kepada matlamat penghantaran kenderaan kepada pelanggan secepat mungkin tanpa menjejaskan kualiti atau keselamatan.
BHOnline