Bursa Malaysia dibuka tinggi sebelum terus susut

KUALA LUMPUR: Bursa Malaysia dibuka tinggi sedikit pada urus niaga Khamis sebelum mula menyusut beberapa minit kemudian, mengambil petunjuk daripada prestasi Wall Street yang lemah semalaman di tengah-tengah kebimbangan berterusan terhadap kenaikan kadar faedah Amerika Syarikat (AS), seorang peniaga.

Pada 9.15 pagi, penanda aras FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) susut 1.81 mata kepada 1,468.94 daripada 1,470.75 pada penutupan dagangan Rabu.

Indeks utama itu memulakan urus niaga pagi ini dengan meningkat 0.55 mata pada 1,471.30.



Pergerakan harga di pasaran negatif menyaksikan kaunter rugi mengatasi kaunter untung 228 berbalas 133, manakala 274 kaunter tidak berubah, 1,539 tidak diniagakan dan 22 yang lain digantung.

Jumlah dagangan adalah sebanyak 401.41 juta unit bernilai RM154.90 juta.

Menurut Malacca Securities Sdn Bhd dalam nota penyelidikannya, bursa tempatan terus menyaksikan aktiviti jualan bersih daripada pelabur asing, dengan jualan bersih terkumpul lima hari sebanyak RM407 juta.

“Walaupun aktiviti memburu saham berharga murah dijangka muncul berikutan penurunan jualan selama dua hari, keadaan pasaran keseluruhan akan kekal berhati-hati berikutan prestasi negatif Wall Street semalaman.



“Bagi komoditi, harga minyak mentah kekal melebihi AS$83 setong dan harga minyak sawit mentah berlegar menghampiri RM4,000 satu tan. Justeru, kami masih menjangkakan sektor minyak dan gas akan kekal teguh di tengah-tengah kenaikan harga minyak mentah,” ia berkata.

Dalam pada itu, firma pembrokeran itu berkata situasi tidak menentu mungkin berterusan dalam sektor teknologi apabila Nasdaq susut di bawah paras kritikal 12,000 semalaman.

Ia menambah pelabur dijangka memberi tumpuan kepada sektor defensif seperti amanah pelaburan hartanah dan utiliti untuk mengekang ketidaktentuan dalam jangka terdekat.

Sementara itu, saham wajaran tinggi Bursa, Maybank naik satu sen kepada RM8.65, CIMB susut empat sen menjadi RM5.36 dan TNB turun satu sen kepada RM9.50, manakala kedua-dua Public Bank dan Petronas Chemicals tidak berubah, masing-masing mencatatkan harga RM4.12 dan RM8.25.



Bagi saham aktif, MY E.G. Services menambah 1.5 sen kepada 73 sen dan MLABS Systems naik setengah sen kepada 2.5 sen, manakala ATA IMS turun 1.5 sen menjadi 34 sen, Iris Corporation susut satu sen kepada 13.5 sen dan Hong Seng Consolidated tidak berubah pada 20 sen.

Di papan indeks, Indeks FBM Emas menguncup 16.09 mata kepada 10,723.50, Indeks FBMT 100 lemah 15.62 mata kepada 10,390.58 dan Indeks FBM Emas Syariah berkurangan 10.64 mata kepada 11,088.05.

Indeks FBM 70 pula lemah 32.55 mata kepada 13,656.58 manakala FBM ACE turun 7.42 mata menjadi 5,782.42.

Mengikut sektor, Indeks Produk dan Perkhidmatan Perindustrian susut 0.10 mata kepada 189.88, Indeks Tenaga mengecil 5.90 mata menjadi 887.92 dan Indeks Perkhidmatan Kewangan menguncup 24.33 mata kepada 15,930.23.



Bagaimanapun, Indeks Perladangan memperoleh 3.14 mata kepada 6,903.46.

BERNAMA

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button