Final Piala Liga: Peluang Karius tebus kecewa
London: Pengurus Newcastle, Eddie Howe menggesa Loris Karius untuk ‘menulis semula perjalanan kariernya’ ketika dia bersiap sedia untuk membuat penampilan kompetitif pertamanya selama dua tahun dalam perlawanan akhir Piala Liga menentang Manchester United, 27 Februari ini.
Karius paling diingati kerana dua kesilapan besar yang menghadiahkan Real Madrid kemenangan 3-1 ke atas Liverpool pada perlawanan akhir Liga Juara-Juara 2018.
Itu menjadi perlawanan terakhirnya untuk The Reds apabila dia dipinjamkan ke Besiktas dan Union Berlin sebelum kontraknya di Anfield tamat pada akhir musim lalu.
Karius kemudian menyertai Newcastle pada September tahun lalu tetapi masih belum bermain untuk Magpies kerana dia dilihat sebagai penjaga gol pilihan keempat di bawah bimbingan Howe.
Bagaimanapun, kad merah yang diterima Nick Pope ketika tewas 0-2 kepada Liverpool hujung minggu lalu bermakna pemain antarabangsa England itu perlu memenuhi tempoh penggantungan.
Martin Dubravka pula tidak dapat diturunkan selepas bermain untuk Manchester United semasa tempoh pinjaman dengan Red Devils awal musim ini dan Karl Darlow pula meninggalkan Hull secara pinjaman pada jendela perpindahan Januari.
“Ia adalah peluang terbaiknya untuknya menulis semula kisah kariernya.
“Inilah indahnya bola sepak. Anda tidak tahu apa yang akan berlaku. Ketidakpastian inilah yang menjadikannya sesuatu yang menarik untuk disaksikan,” kata Howe mengenai peluang Karius untuk menebus kekecewaannya.
AFP