Resipi 200 tahun ‘nombu kanji’ Masjid Kapitan Keling,
Georgetown: Bubur lambuk atau dikenali sebagai ‘nombu kanji’ yang disediakan di Masjid Kapitan Keling di sini, bukan sahaja digemari umat Islam ketika berbuka puasa malah turut diminati masyarakat berbilang bangsa serta pelancong asing yang berkunjung ke negeri ini.
Ahli Jawatankuasa Masjid Kapitan Keping merangkap Penyelia Makanan Muhammad Haniff Abdul Latheef berkata, hidangan itu boleh dianggap sajian sihat kerana hanya menggunakan sayuran-sayuran dengan olahan rempah ratus istimewa serta sesuai pelbagai golongan masyarakat.
“Ia mengandungi beberapa jenis sayur-sayuran seperti lobak merah, daun pudina, daun pandan, daun sup, tomato, daun ketumbar, daun kari selain halia, kacang dal, cili, minyak sapi dan rempah beriani.
“Nombu atau terjemahan daripada bahasa Tamil bermaksud puasa dan bubur ini merupakan resipi turun-temurun masyarakat India Muslim.
“Insya-Allah rasanya tidak berubah sejak ia diperkenalkan ketika bermula penubuhan masjid ini lebih 200 tahun lalu,” katanya ditemui di sini, hari ini.
Masjid Kapitan Keling yang kini mencapai usia 222 tahun dibangunkan pada 1801 ketika Pulau Pinang menjadi lokasi tumpuan bagi masyarakat India Muslim menjalankan aktiviti perniagaan rempah ratus, tekstil dan sebagainya.
Muhammad Haniff, 55, berkata, 25 kilogram beras diperuntukkan untuk menghasilkan kira-kira 400 hingga 450 bungkus nombu kanji yang akan mula diedarkan di masjid itu kepada orang ramai yang mula beratur selepas solat Asar.
Menurutnya, proses memasak dua periuk besar nombu kanji dikendalikan tukang masak, Ustaz Mohamed Ahmad Jalaludeen, 50, yang juga pakar masakan itu seawal jam 9 pagi.
Beliau berkata, bubur yang turut dimasukkan empat kilogram santan segar itu akan dimasak kira-kira satu jam 40 minit sebelum api dapur dan tudung periuk ditutup rapat selama lebih dua jam.
“Saya akan kembali semula ke sini kira-kira jam 12.40 tengah hari atau sebelum solat Zuhur untuk mengacau bubur ini supaya adunannya sebati dengan kerja-kerja membungkus akan dilakukan pada jam 3 petang,” katanya.
Beliau berkata, bubur yang turut dihidangkan semasa majlis berbuka puasa itu turut digemari pelancong dari Eropah dan Turki yang berkunjung ke masjid berkenaan.
“Dekat sini, memang ada beberapa orang pelancong asing yang datang semasa waktu berbuka puasa dan mereka biasanya jarang makan nasi tetapi lebih suka makan nombu dan kanji dan kuih-muih,” katanya.
METRO