Empat ditahan samun kedai serbaneka guna senjata tajam

Oleh – Syeikh Baran


Empat ditahan samun kedai serbaneka guna senjata tajam
Bahrin (tengah) menunjukkan pedang yang digunakan empat lelaki menyamun sebuah kedai serbaneka di Taman Indah Kluang pada Jumaat lalu.

Empat lelaki ditahan kerana disyaki terlibat dengan kes samun bersenjatakan pedang dan pisau melapah daging di sebuah kedai serbaneka di Taman Intan di sini, pada Jumaat lalu.

Ketua Polis Daerah Kluang, Asisten Komisioner Bahrin Mohd Noh berkata, kesemua suspek berusia 25 hingga 42 tahun termasuk seorang bekas banduan itu ditahan di sebuah rumah di Sri Alam, Masai pada Isnin.



“Keempat-empat suspek juga didapati terlibat dalam kejadian samun di sebuah kedai serbaneka di Pontian pada minggu lalu.

“Ketika menyamun, salah seorang akan menunggu di dalam kereta dan bertindak sebagai pemandu, seorang lagi menjadi pemerhati di luar premis manakala dua lagi akan masuk ke dalam kedai,” katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kluang pada Khamis.

Menurut Bahrin, polis berjaya merampas beberapa jenis rokok, telefon bimbit, pakaian dipercayai digunakan ketika menyamun termasuk sebilah pedang dan pisau serta sebuah kereta Proton Iswara.

“Semakan mendapati suspek pertama mempunyai 18 rekod jenayah serta enam kes dadah, suspek kedua memiliki 10 rekod jenayah serta empat kes dadah dan suspek ke tiga merekodkan satu kes jenayah dan tujuh kes dadah.



“Ujian saringan air kencing mendapati semua suspek positif dadah dan kes disiasat mengikut Seksyen 395 dan 397 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara sehingga 20 tahun dan sebatan.

Jelas beliau, kesemua suspek kini dikenakan tahanan reman dan akan diserahkan ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Pontian untuk siasatan selanjutnya.

Sumber – SINAR HARIAN



Related Articles

Leave a Reply

Back to top button