UTP naib juara Anugerah Tenaga Nasional 2022

Universiti Teknologi Petronas muncul naib juara Anugerah Tenaga Nasional 2022 kategori Institut Pengajian Tinggi.

Oleh Rohana Man

IPOH – Universiti Teknologi Petronas (UTP) muncul naib juara Anugerah Khas, Anugerah Tenaga Nasional (NEA) 2022 bagi kategori Institut Pengajian Tinggi (IPT) baru-baru ini.



Menurut kenyataan UTP, kejayaan itu merupakan kemenangan sulung universiti berkenaan bagi anugerah berprestij tersebut.

Kemenangan itu mengiktiraf usaha universiti dalam menyokong agenda Petronas Melangkah Ke Hadapan Bersama (MFT) 50.30.0, Pembebasan Sifar Karbon Bersih Petronas menjelang 2050, dan Agenda Hijau Mapan Negara.

“Anugerah ini merupakan program anjuran Kementerian Tenaga dan Sumber Asli (KeTSA) dan berlangsung pada 14 September lalu.

“Penganjuran tersebut menyediakan platform penting untuk memberi pengiktirafan kepada peneraju industri Malaysia dalam produk berkaitan teknologi hijau.



“Selain itu, ia turut menyediakan platform bagi penyediaan perkhidmatan dan sektor perkhidmatan tenaga yang semakin berkembang, untuk menerima pakai dan melaksanakan amalan tenaga mapan,” ujar kenyataan tersebut di sini, hari ini.

Kenyataan itu turut menyebut NEA yang dimulakan pada 2018 adalah sebahagian daripada usaha strategik kerajaan untuk memperluaskan penerimaan orang ramai dan penyertaan industri dalam sektor penjimatan tenaga, kecekapan tenaga dan teknologi tenaga boleh diperbaharui.

Anugerah itu, katanya, mengiktiraf konsep dan amalan mapan yang berfikiran maju ke depan dalam empat kategori iaitu Pengurusan Tenaga, Bangunan Cekap Tenaga dan Tenaga Boleh Diperbaharui.

“Kategori keempat adalah anugerah khas yang mengiktiraf usaha IPT, Kontraktor Prestasi Tenaga, dan Pembiayaan Tenaga Mapan dalam meningkatkan kesedaran, selain menggalakkan penggunaan amalan mapan,” kata kenyataan itu lagi.



Dalam pada itu, UTP berhasrat untuk menjadi peneraju dalam Kampus Rendah Karbon (LCC) dan sebagai institusi yang memberi tumpuan kepada kejuruteraan, sains dan teknologi, pihak universiti akan memanfaatkan bakat, teknologi dan sumber untuk mengurangkan pelepasan karbon di kampus menjelang tahun 2030.


Discover more from My TV ONLINE

Subscribe to get the latest posts to your email.

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button

Discover more from My TV ONLINE

Subscribe now to keep reading and get access to the full archive.

Continue reading