Mahasiswa UM santuni anak yatim



Mahasiswa Jabatan Al-Quran dan Al-Hadith, Akademi Pengajian Islam, Universiti Malaya bergambar kenangan bersama remaja Pertubuhan Kebajikan Ukhuwah Anak Yatim Miskin, Sabak Bernam di Cabin Camp, Kuala Selangor.

Oleh Rohana Man

PETALING JAYA – Sekumpulan mahasiswa tahun kedua Universiti Malaya (UM) dari Jabatan Al-Quran dan Al-Hadith, Akademi Pengajian Islam menyantuni 28 remaja Pertubuhan Kebajikan Ukhuwah Anak Yatim Miskin, Sabak Bernam, Selangor, baru-baru ini.

Kumpulan mahasiswa terbabit telah mengatur program untuk anak-anak remaja berkenaan yang diadakan selama 3 hari 2 malam di Cabin Camp (KSCC), Jeram, Kuala Selangor.



Pengarah program, Muhammad Fakhrillah Mohd Zaidi, 20, berkata, program itu agak unik kerana berkonsepkan santai, selain meletakkan aspek al-Quran dan sirah nabawi sebagai asas dalam setiap modul aktiviti yang dijalankan bersama peserta.

“Kami cuba memenuhi program dengan aktiviti yang pelbagai dan sangat sesuai dengan jiwa remaja, tanpa dimasukkan sesi ceramah atau kuliah,” katanya dalam satu kenyataan media, baru-baru ini.

Program tersebut dinamakan ‘Pearls of Quranic Camp’, merupakan program kemasyarakatan.

Muhammad Fakhrillah yang merupakan mahasiswa tahun kedua Jabatan Al-Quran dan Al-Hadith UM, berkata, antara lain program tersebut bertujuan mendekati golongan masyarakat yang memerlukan.



“Program ini juga berupaya menjadi wadah kepada mahasiswa yang berhasrat untuk merencana dan melaksanakan aktiviti jalinan masyarakat berasaskan ilmu yang dipelajari di bilik kuliah,”ujarnya.

Mengulas mengenai pemilihan lokasi program, katanya, kawasan persekitaran KSCC yang mendamaikan turut diserikan dengan kehadiran haiwan peliharaan seperti arnab, angsa, burung dan rusa.

“Suasana kampung di sini amat membantu kami dalam mencapai objektif yang telah disusun.

“Para peserta berpeluang melakukan aktiviti yang jarang dirasai, seperti aktiviti lasak melalui halangan berlumpur, dan solat berjemaah di tengah padang,” kata Muhammad Fakhrillah.



Sementara itu, penyelaras program yang juga pensyarah kanan Jabatan Al-Quran dan Al-Hadith UM, Dr. Selamat Amir berkata, cabaran mengadakan program itu lebih kepada perancangan aktiviti yang menarik, khas untuk remaja dan dalam masa yang sama, mereka mendekati al-Quran.

Beliau secara peribadi kagum dengan kesungguhan para sukarelawan menjayakan program tersebut.

“Saya dan rakan-rakan merancang aktiviti yang mengaitkan aspek-aspek rohani, jasmani, dan intelektual.

“Kami ingin menunjukkan kepada para peserta bahawa al-Quran bukan hanya sekadar untuk dibaca, tetapi turut berfungsi sebagai panduan di dalam setiap gerak-geri kehidupan.



“Bermula dengan perancangan yang teliti, usaha pencarian dana, dan akhirnya pelaksanaan program yang bersungguh-sungguh, saya pasti setiap sukarelawan terlibat telah melalui proses pembelajaran yang unik.

“Paling utama, mereka telah berkongsi kepentingan untuk mengaplikasikan nilai-nilai al-Quran di dalam kehidupan seharian.

“Dan secara tidak langsung, ini juga membantu membina kemenjadian remaja daripada golongan yang memerlukan,” kata Dr. Selamat.

Sementara itu, seorang sukarelawan yang juga fasilitator program, Izzah Hanim berkata, antara pengisian program adalah tahsin surah al-Fatihah, latihan dalam kumpulan, perlumbaan ‘explorace’, memanah, dan tayangan video.



Related Articles

Leave a Reply

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker