Nurul Shuhada bahagia beraya dengan anak

KUALA LUMPUR : Berdepan kemelut rumah tangga dengan diri berbadan dua, pastinya perit. Apatah lagi, ketika umat Islam gembira menyambut Syawal, hati mudah goyah mengenang nasib tatkala diri diuji.

Namun, isteri pelakon, Hafidz Roshdi, iaitu Nurul Shuhada Mat Shukri, 29, yang memfailkan perceraian terhadap suami, Februari lalu, enggan hanyut dengan mainan emosi, jauh sekali meratapi erti kehilangan.

Dengan dua anak terdahulu, Nurul Shuhada tidak menganggap diri serba kekurangan, apatah lagi dalam semangat Syawal sebagai bulan meraikan kemenangan.



Meraikan Aidilfitri di kampung halaman di Perlis, Nurul Shuhada mengakui Syawal kali ini lebih tenang.

“Saya tiada lagi memikirkan beban. Bagi mereka yang mengerti, fahamlah.

“Jadi sekarang, saya hanya fokus kepada anak-anak, emak, abah dan diri sendiri. Hari raya tahun ini Allah bagi peluang berbeza untuk melangkah ke fasa baharu… Insya-Allah,” katanya kepada BH Online.

Terus optimis, Nurul Shuhada juga tidak mahu lagi membandingkan ketidaksempurnaan lebaran bersama keluarga lain.



“Saya sudah boleh terima apa yang Allah takdirkan. Tetapi mungkin ini agak berbeza bagi anak, iaitu Humairah dan Umar.

“Namun, kita kena berbahagia pada hari raya kerana Allah nyatakan Aidilfitri sebagai hari bahagia. Jadi, usah bersedih dan ingatlah janji Allah itu pasti,” katanya.

Nurul Shuhada juga bersyukur dikurniakan rezeki melimpah ruah sejak krisis perkahwinan dengan Hafidz melanda.

Tambahnya, dia banyak menerima hadiah berupa pakaian dan kasut raya daripada orang ramai, termasuk kepada Humairah yang menginjak usia enam tahun dan adiknya, Umar, berusia dua tahun.



“Jujurnya rezeki saya dari segi hadiah baju, kasut dan sebagainya… Sangat melimpah ruah. Ramai yang memberi hingga saya tidak perlu beli.

“Itulah rezeki anak-anak saya. Jadi, kami pakai semua persalinan dan kasut diberi. Humairah suka terutama baju yang diberi pelakon, Mawar Rashid.

“Saya juga terima sumbangan baju daripada beberapa jenama. Itu yang saya selalu kata, Allah Maha Baik. Semua yang diaturkan baik untuk kita. Tiada yang silap dengan takdir Allah,” katanya.

Berkongsi mengenai kehamilan ketiga, Nurul Shuhada mengakui ujian dilalui besar buat dirinya, namun, dia reda dengan ketentuan Allah.



“Saya tidak jangka kehamilan ketiga ini. Ketika tahu ada yang ketiga (kandungan), saya seolah-olah bertanya kepada Allah, mengapa saya?

“Saya mula mempersoalkan kerana apa yang sudah ada di bahu, sudah rasa sangat berat.

“Tetapi apabila difikirkan kembali, sayang betul Allah kepada saya. Kalau mahu difikirkan memang perit, tetapi saya sangat yakin, pastinya Allah mahu beri saya sesuatu yang terjangkau akal saya, pada masa akan datang.

“Tidak mengapalah, saya sanggup derita di atas dunia jika ada hikmah besar di akhir nanti,” katanya.



Nurul Shuhada tidak menyangka kandungannya kuat biarpun dia mengambil ubat depresi dan penenang.

“Saya diberi ubat antidepresi dan penenang oleh doktor pakar. Saya dimaklumkan ubat terbabit sangat kuat.

“Jadi, kemungkinan untuk hamil rendah. Namun, Alhamdulillah, anak saya ‘melekat’. Kandungan saya juga dimaklumkan sihat.

“Semua ini kuasa Allah. Jadi, saya reda, dengan apa yang dikurniakan Allah. Kalau anak ini dilahirkan tanpa abah, tidak mengapa. Dia ada kakak dan abangnya,” katanya.



Nurul Shuhada berkongsi perancangan untuk menunaikan umrah bagi mencari ketenangan dan memohon doa kepada Allah.

“Saya sedang merancang tunaikan umrah, bulan depan. Orang kata, Allah ada di mana-mana. Tetapi, lokasi Tanah Suci ada keistimewaan sendiri untuk kita berdoa.

“Jadi, saya mahu rasa proses ‘healing’ (penyembuhan) di Tanah Suci. Saya mahu fokus beribadat di sana.

“Insya-Allah saya akan pergi sendirian. Doakanlah Allah jemput saya ke sana,” katanya.

Nurul Shuhada dan Hafidz mendirikan rumah tangga pada 30 April 2016 dan dikurniakan dua cahaya mata sebelum ini.

Pada 27 Februari lalu, Nurul Shuhada memfailkan perceraian terhadap Hafidz di Mahkamah Rendah Syariah Shah Alam, susulan keputusan dan persetujuan kedua-dua keluarga.

Kontroversi Hafidz dan Nurul Shuhada bertambah hangat apabila adik Shuhada yang hanya mahu dikenali sebagai Sofia, mengesahkan abang iparnya itu melafazkan cerai talak satu terhadap kakaknya pada 22 Februari lalu menerusi panggilan telefon.

BHOnline


Discover more from My TV ONLINE

Subscribe to get the latest posts to your email.

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button

Discover more from My TV ONLINE

Subscribe now to keep reading and get access to the full archive.

Continue reading