Henti sebarkan video insiden helikopter, dilarang bawah AKM 1998 – MCMC

Oleh – Syeikh Baran


Henti sebarkan video insiden helikopter, dilarang bawah AKM 1998 - MCMC
MCMC meminta orang ramai supaya tidak memuat naik atau menyebarkan video insiden dua helikopter yang terhempas di Pangkalan TLDM di Lumut pada Isnin.

Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) meminta orang ramai supaya tidak memuat naik atau menyebarkan video insiden dua helikopter yang terhempas di Pangkalan Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) di Lumut pada Selasa.

MCMC berkata, individu yang sudah memuat naik video kemalangan berkenaan diminta untuk memadam hantaran terbabit bagi menghormati keluarga mangsa.



Menurutnya, sebarang penghantaran komunikasi yang mempunyai ciri-ciri mengancam, menyakitkan hati atau mengganggu orang lain adalah satu perbuatan yang dilarang di bawah Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 (AKM 1998).

“Justeru, MCMC ingin menasihatkan orang ramai untuk tidak memuat naik atau menyebarkan video insiden tersebut bagi mengelakkan apa-apa kesalahan dilakukan di bawah AKM 1998.

 

“MCMC juga meminta mana-mana pihak yang telah memuat naik video melibatkan insiden berkenaan untuk memadamkannya,” katanya dalam satu kenyataan pada Selasa.

Pada jam 9 pagi Selasa, dua helikopter milik Angkatan Tentera Malaysia (ATM) terhempas selepas bertembung di Pangkalan TLDM ketika sesi latihan sempena Hari Terbuka Armada TLDM melibatkan pesawat HOM (M503-3) dan pesawat Fennec.



MCMC turut meminta pengguna Internet supaya lebih sensitif dan menghormati keluarga mangsa yang sedang bersedih atas kemalangan tersebut.

Pada masa sama, MCMC menzahirkan rasa simpati terhadap mangsa dan keluarga mangsa kemalangan yang terhempas dalam latihan lintas hormat sempena sambutan Hari Ulang Tahun TLDM ke-90.

Sumber – SINAR HARIAN



Related Articles

Leave a Reply

Back to top button