Najib layan Sarawak lebih baik daripada PH &PN

 

Bekas Perdana Menteri, Najib Razak mendapat pujian yang jarang diberikan aktivis pembangkang atas jumlah peruntukan yang diberikan kepada Sarawak ketika beliau berkuasa.

Aktivis Sarawak, Francis Paul Siah kecewa dengan pengumuman Bajet 2022 dan berkata, RM4.6 bilion yang diperuntukkan kepada negeri itu terlalu sedikit berbanding saiz Sarawak sebagai wilayah terbesar di negara ini.

Belanjawan persekutuan memperuntukkan perbelanjaan pembangunan sebanyak RM5.2 bilion kepada Sabah dan RM4.6 bilion untuk Sarawak.

Siah yang mengetuai Movement for Change Sarawak memberitahu FMT, 10% daripada keseluruhan RM332.1 bilion adalah peruntukan munasabah untuk Sarawak.

“Saya kecewa dengan Perikatan Nasional (PN) dan Pakatan Harapan (PH), dari segi bajet,” katanya merujuk dua kerajaan terdahulu.

“Patutkah saya menyalahkan Gabungan Parti Sarawak (yang memerintah)? Ya dan tidak. Tidak kerana ketika PH berkuasa, mereka juga melakukan perkara sama. Mereka juga tidak menjaga Sarawak.

“Kita tidak dilayan dengan adil oleh PN dan PH. Secara jujurnya, Barisan Nasional (BN) melayan Sarawak lebih baik berdasarkan peruntukan dana pembangunan.

“Najib paling pemurah,” katanya walaupun menyedari bekas Perdana Menteri itu disabitkan bersalah kerana rasuah dan penyalahgunaan kuasa.

 





Siah berkata, kerajaan pimpinan Najib berjanji membina kira-kira 700 jambatan di Sarawak, infrastruktur yang sangat diperlukan negeri itu, tetapi jumlah itu dikurangkan dengan ketara selepas PH berkuasa.

Ahli Parlimen Bandar Kuching, Dr Kelvin Yii berkata, Sarawak layak menerima dana lebih besar disebabkan keluasan dari segi geografi, terutama GPS sebagai “kingmaker” dalam pembentukan kerajaan persekutuan.

Katanya, geran khas untuk Sarawak kekal RM16 juta, nilai sama seperti tahun sebelumnya, berbanding ketika PH mentadbir, jumlah itu dinaikkan dua kali ganda kepada RM64 juta bagi tempoh lima tahun.

“Bagaimanapun, dalam Bajet 2021 dan 2022, kerajaan mengurangkan jumlah itu kepada RM16 juta, jumlah sama pada 1969,” katanya kepada FMT.

Penganalisis politik, Oh Ei Sun dari Institut Hal Ehwal Antarabangsa Singapura percaya Putrajaya tidak tertekan untuk memperuntukkan lebih banyak dana kerana GPS yakin boleh menang dalam pilihan raya negeri (PRN) Sarawak.

Katanya, terdapat sedikit perbezaan antara RM4.6 bilion dan RM5.2 bilion yang diperuntukkan kepada Sarawak serta Sabah kerana Sabah lebih ketinggalan daripada Sarawak.

Ahli Majlis Profesor Negara (MPN), Jeniri Amir berkata, rakyat Sarawak tentu tidak gembira dengan peruntukan itu yang tidak mengejutkan kerana peruntukan serta pelaksanaan projek adalah perkara berbeza.

“Di atas kertas, mungkin semuanya baik-baik belaka, namun pelaksanaan projek adalah isunya. Tidak boleh berlaku ketirisan dan pembaziran.”

FMT


Discover more from My TV ONLINE

Subscribe to get the latest posts to your email.

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button

Discover more from My TV ONLINE

Subscribe now to keep reading and get access to the full archive.

Continue reading