Cuba rempuh, polis tembak kereta

KAJANG: Polis melepaskan beberapa das tembakan ke arah sebuah Perodua Myvi selepas cuba melarikan diri daripada pemeriksaan dan hampir merempuh anggota polis bertugas dalam kejadian di Bandar Sungai Long, di sini, kelmarin.

Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Mohd Zaid Hassan, berkata kejadian kira-kira jam 2 pagi itu berlaku ketika tiga anggota yang sedang membuat rondaan cegah jenayah cuba menahan pemandu kenderaan terbabit yang dilihat dalam keadaan mencurigakan.

Bagaimanapun, katanya, suspek memecut laju kenderaan selepas diarahkan berhenti dan anggota bertugas segera mengejar suspek pada jarak kira-kira tiga kilometer (km).



“Ketika cuba mengejar, kenderaan dinaiki suspek beberapa kali cuba menghimpit anggota yang menaiki motosikal.

“Setibanya di jalan mati, suspek tetap enggan memberhentikan kenderaan dan membuat pusingan U lalu cuba merempuh ketiga-tiga anggota polis,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Mohd Zaid berkata, bagi mempertahankan diri anggota polis melepaskan beberapa das tembakan ke arah kereta dinaiki namun suspek berjaya meloloskan diri.

“Susulan itu, Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kajang melakukan pencarian dan berjaya menahan seorang lelaki warga asing dan seorang wanita yang disyaki terbabit dalam kejadian itu di sekitar Bandar Sungai Long semalam.



“Beberapa individu masih dikesan untuk membantu siasatan dan polis akan membuat permohonan reman ke atas kedua-dua suspek di Mahkamah Kajang hari ini,” katanya.

Beliau berkata, hasil penahanan suspek polis merampas kenderaan jenis Perodua Myvi berwarna merah yang mempunyai kesan tembakan, disyaki terbabit dalam kes itu.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 307/186 Kanun Keseksaan,” katanya.

BHOnline



Related Articles

Leave a Reply

Back to top button