Kisah Seram : Bahagian 1 – Misteri abang ipar

Oleh – Syeikh Baran


Kisah Seram : Bahagian 1 - Misteri abang ipar
GAMBAR HIASAN

“Kak, cerita Arief saya dah siarkan. Alhamdulillah, ramai yang suka dan mendoakan Arief dan keluarga akak,” kata saya kepada Kak N lewat satu pesanan di aplikasi Messenger.

“Terima kasih cikgu. Akak dah baca dan tunjukkan pada Arief. Dia senyum saja,” balas Kak N.



Memang begitulah perangai si Arief. Tetap tenang dan suka tersenyum. Mengikut kata Kak N, walau ke mana pun Arief pergi, Arief sangat di senangi ramai. Arief tetap melayan dengan sopan setiap sapaan.

Jika difikirkan kembali, memang istimewa sungguh Arief ini. Patutlah Faizal si anak jin yang bertanduk suka benar hendak berkawan dengan Arief.

Ada satu kisah tentang Arief yang saya terlupa hendak ceritakan di dua episod terdahulu. Izinkan saya coretkan di sini sebelum saya ceritakan kisah yang seterusnya.

Menurut Kak N, pada suatu malam, Kak N terjaga dari tidur. Arief hilang lagi dari pandangan Kak N dan keluarga. Ketika itu Arief berumur 5 tahun.



Apalagi, kecohlah seisi keluarga mencari dan memanggil-manggil nama Arief. Tetapi Arief tidak ada di dalam dan di hadapan rumah. Tiada juga suara menyahut.

Suami Kak N cuba mencari di belakang rumah. Ternyata benar. Arief ada di situ. Sedang berdiri di dalam gelap memandang ke arah semak samun dan hutan di belakang rumah.

“Ya Allah adik, buat apa di sini malam-malam? Kan gelap ni,” kata ayah Arief lalu mendukung Arief masuk ke dalam.

“Adik buat apa seorang diri di belakang rumah?” tanya Kak N geram bercampur lega.



“Adik nak tanya pocong tu,” kata Arief.

“Tanya apa pulak?” balas Kak N.

“Adik cuma nak tanya, kenapa mata dia berdarah? Kaki dia sebelah terkeluar, dah hancur,” jawab Arief selamba.

Kak N dan suami saling berpandangan sambil mengurut dada mendengar cerita Arief. Tidak tahu bagaimana lagi hendak memberi reaksi. Perasaan seram, marah, bimbang, gelihati bercampur baur.



Baiklah, itu sahaja cerita tentang Arief buat masa ini. Andai ada lagi kisah terbaru, akan saya utarakan untuk tatapan pembaca sekelian.

Kita beralih kepada cerita tentang abang ipar Kak N, iaitu suami kepada salah seorang kakak Kak N, yang bernama Kak Intan (bukan nama sebenar)

Abang ipar Kak N ini namanya Mat. Tetapi dipanggil Uda di dalam keluarga kerana dia mengahwini Kak Intan yang merupakan anak ketiga di dalam adik beradik Kak N.

Ketika berkahwin dengan Kak Intan, Uda sudah agak berusia sedikit. Uda sudah mempunyai seorang isteri. Tetapi tidak mempunyai zuriat kerana isteri pertamanya itu menghidapi satu penyakit sejak dari muda lagi. Apa penyakitnya tidak pula Kak N ceritakan.



Setelah Uda berkahwin dengan Kak Intan, Kak Intanlah yang menjaga madunya itu. Bersama Kak Intan, Uda memperolehi 4 orang anak. Anak-anak Uda dan Kak Intan memang cantik-cantik dan kacak-kacak orangnya.

Almaklumlah, Uda yang berasal dari Penang ini, ada darah campuran Mamak dan Arab. Uda sangat berharap anak-anaknya itu akan menjadi waris menyambung kemahirannya dalam mengurut.

Menurut ceritanya, Uda dahulunya pernah mempunyai pekerjaan tetap sebagai seorang Pegawai Hutan atau dahulunya disebut ‘Pores’ (Forest) oleh orang-orang kampung.

Tetapi setelah bersara Uda belajar kemahiran mengurut daripada ibunya dan menjadikannya sebagai sumber pendapatan sampingan selain pencen yang diterima setiap bulan.



Uda juga sangat mahir soal khasiat akar-akar kayu dan segala jenis pucuk dan daun, sesuai dengan pekerjaannya dahulu yang selalu keluar masuk hutan.

Malah Uda jugalah yang mengajar Kak N bagaimana cara menggunakan beberapa tumbuhan herba untuk menjaga kesihatan diri, yang diamalkan oleh Kak N sehingga kini.

Kehebatan Uda dalam mengurut memang menjadi bualan. Ramai yang mendapatkan khidmat Uda. Dan Uda mampu mengurut ramai orang dalam satu malam tanpa mengenal penat.

Pernah diceritakan, Uda pernah meraih pendapatan hingga RM900 semalam, hasil upah daripada mengurut. Memang Uda tidak menetapkan sebarang harga. Yang datang mengurut hanya memberi seikhlas hati. Yang tidak mampu, Uda akan mengurut secara percuma.

Uda juga terkenal dengan sikap suka membantu orang-orang kampung. Sesiapa sahaja yang mengalami masalah dan kesulitan, Udalah yang paling ke hadapan untuk membantu.

Uda suka bersedekah dan tidak lokek mengeluarkan belanja untuk keluarga, ipar duai dan saudara mara yang memerlukan. Pendek kata, Uda langsung tidak berkira soal duit dan harta.

Menurut Kak N, ketika musim durian, adik beradik Kak Intan, termasuklah Kak N akan dijamu dengan durian sehingga mereka betul-betul puas memakannya.

Selain itu Uda juga agak warak orangnya. Uda seorang yang sangat menjaga solat dan gemar membaca Al Quran. Uda juga seorang yang gemar tersenyum dan mempunyai raut wajah yang bersih dan tenang.

Kisah Seram : Bahagian 1 - Misteri abang ipar
GAMBAR HIASAN

Satu kehebatan Uda, yang agak misteri ialah, Uda sangat gagah orangnya. Kegagahannya agak luar biasa dan sukar diterima akal yang waras.

Walaupun berbadan kurus dan sudah tua, Uda boleh mengangkat benda-benda berat dengan mudah.

Pernah Uda mengangkut pasir dari sungai yang terletak kira-kira 300 meter dari rumah, dengan hanya menggunakan kereta tolak seorang diri.

Jika orang lain, sudah tentu tidak akan tertolak, kerana pasir dari sungai masih basah dan sangat berat. Apatah lagi bila diisi di dalam kereta tolak yang juga berat dan besar.

Uda juga orang yang tidak kenal erti takut kepada jin dan hantu syaitan. Pernah terjadi, Uda membaling seekor pontianak yang sering mengganggu orang kampung.

Uda membaling pontianak tersebut dengan sebilah parang dan kemudiannya mengerat tali akar pokok yang selalu digunakan pontianak tersebut untuk bergayut di sebatang pokok yang besar.

Akibatnya, pontianak tersebut datang kembali merayu kepada Uda untuk memulangkan semula tali akar yang telah dikerat oleh Uda.
Tetapi Uda tidak melayan permintaan sang pontianak dan menghalau pontianak tersebut dari kampung itu.

Ketika Kak N masih belum berkahwin, Kak N gemar datang dan tidur di rumah Kak Intan dan Uda. Kak N gemar melayan kerenah anak-anak saudaranya, iaitu anak-anak Kak Intan dan Uda.

Tetapi Uda memang berpesan, sebelum pukul 10.00 malam, lampu mesti dipadamkan dan tidak boleh membuat bising. Berbisik pun tidak dibenarkan.

Tetapi bila sudah bergurau dengan anak-anak buah, kadangkala Kak N terlupa pesanan-pesanan yang diberi.

Akibatnya Kak N dan seisi rumah akan mendengar dinding rumah seperti dicakar-cakar dan bumbung rumah seperti ditabur dengan pasir.

Menurut kata Uda, ada benda yang tidak suka kami membuat bising setelah lewat malam. Sejak hari itu, Kak N sudah serik dan faham, mengapa Uda memberikan pesanan supaya kami segera tidur.

Bersambung…..

Penulis merupakan seorang Guru di Sekolah Tanah Rancangan Felda

 

Sumber – CERITA SERAM LEPAK SANTAI


Discover more from My TV ONLINE

Subscribe to get the latest posts to your email.

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button

Discover more from My TV ONLINE

Subscribe now to keep reading and get access to the full archive.

Continue reading