Bekas penolong SU kementerian didakwa terima suapan RM2,300

Oleh – Syeikh Baran


Bekas penolong SU kementerian didakwa terima suapan RM2,300
FOTO HIASAN

Seorang bekas penolong setiausaha di Kementerian Pengangkutan mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas tiga pertuduhan menerima suapan wang berjumlah RM2,300 daripada seorang pengurus sebuah syarikat pembinaan, empat tahun lalu. 

Bagaimanapun, Mohd Hafiz Ahmad, 41, meminta dibicarakan selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Azura Alwi. 



Mengikut pertuduhan, Mohd Hafiz selaku penjawat awam di Kementerian Pengangkutan, didakwa menerima wang berjumlah RM2,300 daripada seorang lelaki berusia 49 tahun yang diketahui mempunyai hubungan dengan kerja rasminya. 

Tertuduh yang kini bertugas di bahagian sumber manusia di Kementerian Pendidikan didakwa melakukan ketiga-tiga kesalahan itu di sebuah cawangan bank di Jalan Ipoh di sini masing-masing pada 20 Februari, 15 April dan 21 Mei 2020. 

Bapa kepada empat anak itu didakwa mengikut Seksyen 165 Kanun Keseksaan (Akta 574) yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum dua tahun atau denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan. 

Pegawai Pendakwa Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Zahariman Keman menawarkan jaminan sebanyak RM10,000 dengan seorang penjamin warga tempatan.



Zahariman turut mencadangkan supaya tertuduh menyerahkan pasport kepada mahkamah dan melapor diri di pejabat SPRM terdekat sekali setiap bulan sebagai syarat tambahan.

“Jumlah jaminan yang ditawarkan adalah munasabah untuk mengikat dan menjamin kehadiran tertuduh ke mahkamah. Jumlah ini juga tidak bersifat menghukum atau berlebihan,” katanya. 

Bagaimanapun, peguam Datuk Hazman Ahmad yang mewakili tertuduh memohon supaya jumlah jaminan dikurangkan kepada RM5,000 selain membantah cadangan pihak pendakwaan berhubung syarat tambahan untuk menyerahkan pasport kepada mahkamah. 

“Jumlah yang ditawarkan itu terlalu tinggi, mohon dikurangkan kepada RM5,000 sahaja.  Tiada keperluan untuk anak guam menyerahkan pasport kepada mahkamah kerana tiada bukti dan tindak-tanduk  menunjukkan tertuduh mahu melarikan diri.



“Bagaimanapun, pihak pembelaan tiada bantahan terhadap cadangan syarat tambahan untuk melapor diri ke pejabat SPRM,” katanya. 

Mendengar hujah kedua-dua pihak, Azura menetapkan jaminan RM7,000 dengan seorang penjamin selain mengarahkan tertuduh menyerahkan pasport kepada mahkamah sehingga kes selesai. 

Mahkamah kemudian menetapkan 6 Mac depan bagi sebutan kes bagi serahan dokumen.

Sumber – UTUSAN



Related Articles

Leave a Reply

Back to top button