Pemain bola ke kaca tv

PADA 1986, penonton drama Radio Televisyen Malaysia (RTM) terpesona dengan kemunculan seorang pelakon baru yang membintangi drama bersiri Adam & Hawa.

Ia kerana lakonan anak muda yang kemudiannya dikenali sebagai Ridzuan Hashim ini sememangnya dilihat serasi bergandingan dengan Khadijah Ibrahim (Datuk) yang terlebih dulu mencipta nama dalam industri seni tanah air.

Penonton mula ternanti-nanti di depan TV untuk menyaksikan drama yang dikira mencipta fenomena pada era terbabit.



Sejak itu, populariti Ridzuan Hashim atau nama sebenarnya Mohd Ridzuan Hashim yang terlebih dulu mencipta nama sebagai peragawan pentas peragaan dan iklan komersil semakin memuncak.

Ketampanan wajahnya selain lakonan yang hebat ternyata menjadi aset utama apabila banyak penerbit berlumba-lumba menawarkan membintangi produksi mereka.

Meneliti sejarah awalnya, Ridzuan terlebih dahulu berkecimpung dengan sukan bola sepak sebelum beralih sebagai model iklan dan berlakon.



Malah dia aktif bermain bola sepak bersama pasukan Malaysian Artiste Sports Club (MASC).

Kini pelakon berbakat besar ini sudah berpulang ke negara abadi kelmarin sekitar jam 1.57 tengah hari pada usia 62 tahun.

Berita ini mengejutkan semua peminat yang mengenalinya sebagai King, mengambil sempena nama watak popularnya dalam filem KL Gangster arahan Syamsul Yusof.

Sebelum dikenali peminat generasi baharu, Allahyarham terlebih dahulu membintangi filem Antara Dua Hati bersama pelakon utamanya, Raja Ema dan Sabree Fadzil dan Hati Bukan Kristal.



Malah Ridzuan menerima pengiktirafan sebagai Pelakon Lelaki Terbaik Festival Filem Ke-9 menerusi filem Hati Bukan Kristal.

Pengiktirafan lain yang pernah diraihnya ialah Pelakon Filem Pembantu Lelaki Popular Anugerah Bintang Popular Berita Harian 1988.

Tidak ketinggalan Ridzuan pernah terbabit dalam drama aksi, Evolusi KL Drift: The Series arahan Syafiq Yusof dan Rizal Ashreff yang diadaptasi dari filem Evolusi KL Drift (2008) arahan Syamsul Yusof.

Allahyarham berkahwin dengan pelakon Didie Alias pada 1991 dan bercerai pada 2002. Hasil perkongsian hidup, mereka dikurniakan lima anak.



Jiwa kental dan kecintaan Ridzuan terhadap lakonan yang menebal terserlah apabila masih berlakon walaupun dalam keadaan dirinya menghidap sakit jantung.

Malah, dia meminta anak lelakinya Muhamad Dhanial agar merahsiakannya daripada pengetahuan umum.

Dia tidak mahu kehilangan tawaran berlakon sekiranya berita ini dihebohkan selain tidak mahu peminatnya bimbang.

Dari segi pergaulan pula, Allahyarham sering bergurau ketika di lokasi dan sikapnya disenangi ramai pihak. Tidak pernah terdengar cerita negatif mengenainya.



Kini King sudah tiada. Jenazahnya selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Dusun Tua, Hulu Langat sekitar jam 8 malam kelmarin.

Takziah diucapkan buat seluruh keluarga Allahyarham terutama bekas isterinya Didie Alias dan anak-anak mereka.

Didoakan semoga Allahyarham Ridzuan Hashim ditempatkan dalam kalangan orang beriman.

METRO




Discover more from My TV ONLINE

Subscribe to get the latest posts to your email.

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button

Discover more from My TV ONLINE

Subscribe now to keep reading and get access to the full archive.

Continue reading