PATI disergah dan dikejar nelayan

Oleh – Syeikh Baran


PATI disergah dan dikejar nelayan
Pihak berkuasa dibantu KRT dan nelayan mengawasi enam PATI yang ditahan selepas mendarat di Kuala Dulang Kecil di Yan, Kedah awal pagi tadi.

Enam pendatang asing tanpa izin (PATI) warga Myanmar tidak sempat mencari pekerjaan di negara ini selepas dicekup sekumpulan nelayan ketika mendarat di Kuala Dulang Kecil, di sini awal pagi tadi.

Mereka yang terdiri daripada dua lelaki dan empat perempuan berusia antara 15 hingga 33 tahun itu dikejar nelayan sejauh hampir 200 meter selepas dikesan mendarat di pintu kuala menggunakan sebuah bot gentian berukuran sembilan meter panjang.



Seorang nelayan, Zafri Aiman Jalmen, 23, berkata, dia menyedari sesuatu yang tidak kena apabila melihat sebuah bot menghampiri kawasan pintu kuala sewaktu hendak ke laut kira-kira pukul 4.30 pagi tadi.

“Biasanya pada waktu itu, hanya bot nelayan yang keluar ke laut akan kelihatan dan bukan bot memasuki kuala menyebabkan saya dan rakan terpanggil untuk melihatnya dari dekat.

“Saya kemudian terkejut apabila melihat sekumpulan orang menggalas beg pakaian turun dari bot fiber berkenaan dan berjalan di atas batu penghadang ombak ke kawasan lapang di sini,” katanya ketika ditemui di Kuala Dulang Kecil, di sini hari ini.

Menurut Zafri, dia kemudian menyergah kumpulan tersebut menyebabkan kesemua mereka lari ke arah taman permainan kanak-kanak yang terdapat di situ.



“Saya terus menjerit memanggil rakan lain yang sedang membuat persiapan untuk ke laut untuk membantu menahan kumpulan warga asing tersebut. Akhirnya disebabkan kawasan taman kanak-kanak itu berpagar, kumpulan PATI terbabit tidak dapat meloloskan diri sebelum ditahan oleh kami,” ujarnya..

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Yan, Deputi Superintendan Shahnaz Akhtar Haji yang dihubungi mengesahkan tangkapan dan berkata pihaknya kini menahan kesemua PATI dan melakukan proses dokumentasi.

Sumber – KOSMO! ONLINE



Related Articles

Leave a Reply

Back to top button