Tang Jie-Ee Wei juarai Orleans Masters

KUALA LUMPUR: Beregu campuran negara, Chen Tang Jie-Toh Ee Wei berada di kelas tersendiri apabila menjadi pemain Malaysia pertama muncul juara pada Kejohanan Badminton Orleans Masters di Orleans, Perancis, hari ini.

Pada aksi final yang berlangsung di Palais de Sports, beregu nombor 26 dunia dan pilihan ketujuh kejohanan itu menampilkan permainan hebat dengan menewaskan pasangan Taiwan, Ye Hong Wei-Lee Chia Hsin 21-19, 21-17 dalam tempoh 35 minit.

Ini merupakan pertemuan pertama Tang Jie-Ee Wei yang baru digandingkan pada November lalu dengan gandingan dari Taiwan yang berada di kedudukan ke-25 dunia itu serta gelaran kedua musim ini.



Semalam, Tang Jie-Ee Wei berjaya melangkah ke final selepas membenam wakil Indonesia, Rehal Naufal Kusharjanto-Lisa Ayu Kusumawati yang juga pilihan keempat kejohanan dengan keputusan 21-10, 21-16.

Pencapaian terbaik Tang Jie-Ee Wei adalah pada November lalu apabila mereka mencipta sensasi menjuarai Cabaran Antarabangsa Bangladesh 2022 dengan menewaskan gandingan Thailand, Phatharathorn Nipornram- Alisa Sapniti, 21-15,21-13.

Mereka turut membuktikan kemampuan mereka apabila menjuarai Cabaran Antarabangsa Iran 2023 dengan menewaskan rakan senegara, Hoo Pang Ron-Teoh Mei Xing, 21-19, 21-15, pada Februari lalu.

BERNAMA



Related Articles

Leave a Reply

Back to top button