Kerajaan beri insentif kepada syarikat yang beroperasi di TRX

 

Oleh Pena Merah

Kerajaan beri insentif kepada syarikat yang beroperasi di TRX
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim merasmikan Hab Kewangan Antarabangsa Malaysia Tun Razak Exchange. Turut hadir, Menteri Kewangan II, Senator Datuk Seri Amir Hamzah Azizan (empat dari kanan), Ketua Setiausaha Perbendaharaan, Datuk Johan Mahmood Merican (tiga dari kanan) dan Ketua Pegawai Eksekutif TRX City, Datuk Sr. Azmar Taib (empat dari kiri)

Kerajaan mengumumkan insentif kepada syarikat yang memindahkan operasi mereka ke pusat kewangan antarabangsa (IFC) baharu negara, Tun Razak Exchange (TRX) di sini.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, berkata insentif itu termasuk elaun bangunan industri, pengecualian cukai 70 peratus daripada pendapatan berkanun selama lima tahun untuk pemaju hartanah dan pengecualian duti setem untuk perjanjian pinjaman dan perkhidmatan.



Beliau yang juga Menteri Kewangan berkata, selepas sedekad pembangunan, TRX melambangkan aspirasi Malaysia untuk mewujudkan daerah kewangan global yang terkemuka, menyokong cita-citanya untuk bersaing di pentas dunia.

“Sebagai IFC negara, TRX menikmati status istimewa. Dengan status ini, kerajaan telah menyediakan pelbagai insentif untuk syarikat yang memindahkan operasi mereka di sini.

“TRX sudah pun menjadi pusat kepada pemain kewangan utama. Pelancaran TRX hari ini juga adalah satu pencapaian penting dalam misi kerajaan untuk memperbaharui seni bina ekonomi dan kewangan negara melalui Ekonomi Madani,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada media selepas merasmikan Menara Exchange 106 yang turut dihadiri Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan di sini, hari ini.



Yang turut hadir Ketua Pegawai Eksekutif TRX City Sdn Bhd (TRXC), Datuk Azmar Talib. TRX yang berkeluasan 28.33 hektar terletak di tengah-tengah Kuala Lumpur dengan infrastruktur bertaraf dunia serta dilengkapi kemudahan yang terkini.

Daerah TRX telah dibangunkan oleh pemaju induk, TRX City Sdn Bhd (TRXC) yang adalah sebuah anak syarikat milik penuh Kementerian Kewangan yang diperbadankan.

Antara pelabur utama TRX adalah Kumpulan Lendlease dari Australia, Kumpulan Mulia dari Indonesia, HSBC Malaysia, Affin Bank, CORE Precious Development Sdn Bhd, Veolia, Kumpulan IJM dan Prudential Malaysia.Sementara itu Azmar berkata , TRX mencerminkan apa yang diperlukan oleh Malaysia – suatu destinasi serba moden, penuh semangat serta mampan yang dapat memupuk minda perniagaan yang hebat dalam membentuk masa hadapan yang gemilang.

“Hari ini, saya berdiri di hadapan anda dengan rasa bangga. TRX adalah kenyataan lantang Malaysia kepada dunia bahawa kita berjaya memenuhi komitmen kita, serta mampu mencapai lebih lagi.



“Kejayaan ini tidak akan menjadi kenyataan tanpa sokongan dari rakan seperjuangan dalam kerajaan, pelabur yang yakin kepada negara kita serta peluang yang kita bawa, dan komuniti TRX yang terdiri daripada syarikat-syarikat blue-chip global dan tempatan,” katanya. – Berita Harian


Discover more from My TV ONLINE

Subscribe to get the latest posts to your email.

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button

Discover more from My TV ONLINE

Subscribe now to keep reading and get access to the full archive.

Continue reading