JAIM kenal pasti lebih 10 lokasi kaki ponteng puasa

Oleh – Syeikh Baran


JAIM kenal pasti lebih 10 lokasi kaki ponteng puasa
RAHMAD (dua dari kiri) menyampaikan cenderahati kepada Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Ab. Rauf Yusoh pada Program Ihya Ramadan di MITC.

Jabatan Agama Islam Melaka (JAIM) mengenal pasti lebih 10 lokasi yang dipercayai dijadikan tempat golongan tidak berpuasa untuk makan dan minum, sepanjang Ramadan ini.

Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Pengajian Tinggi dan Hal Ehwal Agama negeri, Datuk Rahmad Mariman berkata, penguat kuasa JAIM akan menggempur lokasi yang kerap kali menjadi tumpuan kaki ponteng puasa.



“Pemantauan akan dilaksanakan setiap hari sepanjang bulan Ramadan ini bermula dari waktu sarapan pagi hingga waktu makan tengah hari.

“Mereka boleh menjual makanan tetapi tidak dibenarkan golongan umat Islam makan di situ dan kadang-kadang ada premis depan ditutup tetapi di belakang dibuka untuk menjual makanan,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Program Ihya Ramadan peringkat negeri di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC), Ayer Keroh di sini, hari ini.

Tambah Rahmad, mereka yang melakukan kesalahan boleh didakwa di bawah Seksyen 49 Enakmen Kesalahan Syariah Negeri Melaka 1991 iaitu menjual makanan dan makan dalam bulan Ramadan.



Katanya, tindakan sama juga boleh dikenakan ke atas individu yang menjual makanan, minuman dan rokok kepada orang Islam pada waktu berpuasa.

“Penguat kuasa JAIM akan menjalankan penguatkuasaan untuk menangkap mereka yang tidak berpuasa dan makan di kawasan awam. Premis kedai makan juga turut dipantau,” ujarnya.

Jelasnya, pada tahun lalu sebanyak 91 kes direkodkan di bawah Seksyen 49 diikuti 41 kes pada 2022 dan 77 kes pada 2021.

Sumber – KOSMO! ONLINE



Related Articles

Leave a Reply

Back to top button