Penduduk Gaza terpaksa makan rumput

 

Oleh Pena Merah

Penduduk Gaza terpaksa makan rumput
Penduduk tinggal di dalam sebuah bangunan yang rosak akibat dibom askar Israel di Rafah pada 17 Januari lalu

Krisis kelaparan di Gaza semakin buruk sehingga ada antara penduduk terpaksa makan rumput demi meneruskan kehidupan di wilayah yang terkepung itu, lapor saluran berita CNN kelmarin.

Seorang penduduk utara Gaza, Mohammed Hamouda menceritakan keadaan dialami rakannya, Odeh Al-Haw, yang terkorban ketika cuba mendapatkan air untuk keluarga.



Menurutnya, Odeh sedang beratur di sebuah pusat pengambilan air di kem pelarian Jabalia apabila tentera Israel melakukan pengeboman.

“Ramai saudara-mara dan rakan-rakan di utara Gaza menderita. Mereka terpaksa makan rumput dan minum air tercemar.

“Penduduk juga menyembelih keldai supaya dagingnya dapat dimakan,” kata Mohammed Hamouda.

Lelaki itu kini membelanjakan sebanyak AS$250 (RM1,182) untuk membeli makanan dan bekalan lain untuk keluarganya berbanding AS$50 (RM236.50) hingga AS$70 (RM331.10) sebelum perang itu bermula.



Sementara itu, seorang wanita di Rafah menyifatkan keadaan penduduk selatan Gaza sebagai berada di ambang kematian.

“Kami akan meninggal dunia secara perlahan-lahan. Kami akan meninggal dunia kerana kebuluran dan dahaga,” kata Hanadi Gamal Saed El Jamara.

Ibu kepada tujuh orang anak itu memberitahu dia terpaksa mengemis meminta makanan di sebatang jalan di Rafah.

Katanya, ketika ini, dia cuba sedaya upaya untuk memberikan makanan sekurang-kurangnya sekali sehari kepada anak-anaknya.



“Saya terpaksa mengalih perhatian anak-anak yang kelaparan dengan menyuruh mereka tidur.

“Mereka dalam keadaan lemah. Mereka mengalami cirit-birit dan muka juga berubah menjadi kuning.

“Anak perempuan saya yang berusia 17 tahun memberitahu bahawa dia berasa pening, manakala suami saya tidak menjamah makanan,” kata Hanadi yang berpindah dari utara Gaza.

Keadaan bertambah buruk buat Hanadi sekeluarga apabila suaminya merupakan seorang pesakit kanser dan diabetes.



Ketika Gaza dilanda krisis kebuluran, orang dewasa dan pekerja kesihatan terpaksa berlapar bagi membolehkan anak-anak mereka menjamah makanan yang diperoleh dalam jumlah sedikit.

Jika mendapat bekalan air sekali pun, ia tidak boleh diminum kerana tercemar.

Apabila trak-trak memasuki Semenanjung Gaza pula, sebahagian penduduk bertindak memanjat lori untuk mendapatkan bantuan kemanusiaan yang dibawa.

Kanak-kanak menangis dan berebut untuk mendapatkan roti menjadi pemandangan biasa, manakala sebahagian yang lain terpaksa berjalan selama berjam-jam untuk mencari makanan.



Ia sekali gus mendedahkan mereka kepada serangan tentera Israel.

-Kosmo Online

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button