Heret lelaki ke mahkamah, atas kes buang bayi dilakukan ‘pasangan’

LELAKI seharusnya bertanggungjawab dan diseret ke mahkamah ke atas kes pembuangan bayi yang mungkin dilakukan oleh pasangannya.

Dari segi teknologi, tiada yang mustahil pelaku dijejaki bersama ‘pasangan’ memandangkan Asid deoksiribonukleik (DNA) boleh dikaji seperti mana dalam kes pembunuhan dan lain-lain kes.

Semua yang terjadi itu tidak seharusnya dituding ke atas kesilapan remaja yang mengandungkan anak luar nikah saja, dan menidakkan liabiliti pihak lain.



Justeru, liabiliti ini seharusnya dikaji lebih mendalam memandangkan kes pembuangan bayi boleh menyebabkan kematian ke atas bayi tidak berdosa namun tidak mampu mempertahankan diri kerana faktor usia.

Isu pembuangan bayi adalah masalah sosial sangat penting supaya masyarakat prihatin dan dan bersama mencari penyelesaiannya.

Walaupun kebencian mungkin adalah salah satu faktor yang mendorong ke atas kes pembuangan bayi, namun tidak dapat dinafikan faktor kasih sayang adalah penyebabnya.

Ini kerana, tiada ibu yang mahu melihat anaknya tidak dapat hidup seperti insan lain. Anak yang lahir serba-serbi kekurangan serta dinafikan haknya, memungkinkan si ibu memilih untuk meninggalkan anaknya itu kepada orang lain.



Selain daripada cara sah, iaitu terdapatnya alternatif dengan meninggalkan bayi yang tidak diingini di ‘baby hatch’ secara legal, selain menyelamatkan nyawa, bayi itu boleh dijadikan anak angkat kepada pasangan yang sesuai.

Kaedah ini adalah sesuatu yang kontroversi untuk negara kita memandangkan pemikiran masyarakat yang menganggap bahawa ini adalah bagi menggalakkan lagi kes pembuangan bayi berlaku.

‘Baby hatch’ bantu selamatkan nyawa bayi

Namun hakikatnya, tidak dapat dinafikan, ‘baby hatch’ menyelamatkan nyawa bayi-bayi yang tidak berdosa ditinggalkan di kaki lima atau di tempat yang sunyi agar pelaku tidak akan tertangkap dan diakhiri dengan kematian akibat tiada pengawasan ke atas bayi tersebut.



Faktor niat si pelaku perlu dikaji oleh pihak berkuasa dalam menangani isu ini, kerana kemungkinan si pelaku berniat hanya untuk memberi bayi yang dilahirkan kepada pihak lain tanpa menyebabkan kematian ke atas bayi dengan harapan dapat diselamatkan oleh mereka yang menemuinya.

Perlu di ingat, di dalam aspek perundangan kriminal, selain perbuatan yang salah itu sendiri perlu dibuktikan, niat adalah satu lagi elemen penting dalam membuktikan kesalahan si pelaku.

Ia juga boleh dijadikan satu bentuk pertahanan sekiranya dibuktikan bahawa si pelaku tidak berada dalam keadaan emosi yang stabil akibat tekanan post-natal (selepas kelahiran).

Oleh itu, tidak seharusnya si pelaku dalam konteks membuang bayi diadili secara perbuatannya sahaja tanpa mengambil kira elemen niat mereka.



Elakkan pengguguran bayi

Ini juga perlu diperhalusi dan dibezakan dengan kes lain yang membabitkan pembunuhan serta infantisid yang melibatkan pengguguran.

Adalah wajar sekiranya, kes pembuangan bayi dikategorikan dalam istilah tersendiri di dalam konteks jenayah perundangan agar dapat dibezakan dengan kategori jenayah lain yang secara zahirnya seakan-akan sama namun mempunyai kesan yang berbeza iaitu mengakibatkan kematian serta pengabaian akibat dibuang.



Masyarakat seharusnya lebih peka dengan kes-kes pembuangan bayi ini serta boleh memberikan maklumat kepada pihak berkuasa agar kebajikan pihak terlibat terjaga.

Tangani isu pembuangan bayi secara tuntas

Pihak kerajaan juga dewasa kini telah mengambil tindakan lebih proaktif dengan memberikan maklumat terkini mengenai statistik yang sebenar mengenai kes pembuangan bayi serta bantuan sosial yang mungkin diperlukan dalam aktiviti pencegahan.

Penggemblengan tenaga dari segenap lapisan masyarakat adalah diperlukan bagi menangani permasalahan kes pembuangan bayi.



Isu ini akan lebih berjaya untuk ditangani sekiranya diaplikasikan elemen sosio-perundangan. Pihak keluarga, institusi pendidikan, institutusi kesihatan, kerajaan dan badan bukan kerajaan (NGO) perlu sama-sama menyedarkan masyarakat jenayah pembuangan bayi bukan sesuatu yang normal memandangkan resam setiap anak itu memerlukan keluarga.

Ini juga adalah searus dengan konsep ‘deinstitutionalisation’ atau de-institusi yang mana, adalah lebih baik anak-anak diberikan sepenuh kasih sayang dan perhatian di bawah penjagaan ahli keluarganya sendiri dan bukannya di institusi, selain keluarga.

Ini seterusnya akan membentuk satu kitaran di mana pada masa hadapan, anak-anak ini bakal membesar dan mempunyai keluarga sendiri serta menjaga anak-anak mereka seterusnya.

Dengan cara ini, konsep kekeluargaan akan terus dihormati dan kes pembuangan bayi tidak akan berleluasa.

Selain itu, adalah penting untuk menitik beratkan kesihatan mental seseorang memandangkan dalam penyelidikan ke atas anak-anak yang ditinggalkan, kesan jangka panjang adalah mereka kehilangan jati diri dan tertanya-tanya siapakah diri mereka yang sebenarnya.

Untuk si ibu tadi akan melalui trauma sepanjang hayatnya memandangkan mungkin perasaan bersalah akibat terpaksa meninggalkan anak yang dilahirkan kepada orang lain.

Pokok pangkal, segala-galanya bermula di rumah.

Justeru, penting masyarakat mengagungkan konsep kekeluargaan dan kasih sayang sesama manusia serta menolak kebencian ke atas mereka yang telah terpalit dengan isu ini.

Memberi peluang kedua kepada pesalah adalah diperlukan agar jenayah buang bayi dapat dibendung pada masa hadapan.

Mazbah adalah Pensyarah Kanan Pusat Asasi Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), manakala Nurhidayah adalah Pensyarah Kanan Fakulti Undang-Undang, Universiti Malaya (UM)


Discover more from My TV ONLINE

Subscribe to get the latest posts to your email.

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button

Discover more from My TV ONLINE

Subscribe now to keep reading and get access to the full archive.

Continue reading