1,221 ‘keldai akaun’ ditangkap di Sarawak

KUCHING: Seramai 1,221 suspek keldai akaun ditangkap Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Sarawak sepanjang tempoh Januari hingga September tahun ini.

Pesuruhjaya Polis Sarawak, Datuk Mohd Azman Ahmad Sapri, berkata daripada jumlah itu seramai 914 individu telah dituduh di mahkamah atas pelbagai kesalahan kerana membenarkan akaun bank mereka digunakan untuk aktiviti jenayah.

“Trend jenayah komersial di Sarawak kini menyaksikan akaun keldai semakin berleluasa.



“Ia digunakan penjenayah untuk menerima wang hasil daripada aktiviti penipuan dalam talian dan menerusi media sosial,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Menjelas lanjut, katanya keldai akaun boleh dituduh di bawah undang-undang mengikut Seksyen 411 Kanun Keseksaan kerana menerima harta curi dengan curang yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga lima tahun atau denda atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.

“Mereka yang terbabit juga boleh dituduh mengikut Seksyen 424 Kanun Keseksaan kerana mengalih atau menyembunyikan harta dengan cara tidak jujur atau tipuan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga lima tahun atau denda atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.

“Tuduhan mengikut Seksyen 37 (1) Ordinan Kesalahan-Kesalahan Kecil Sarawak 1958 juga boleh dikenakan kerana mempunyai dalam milikan atau menyampaikan dalam apa-apa yang disyaki secara munasabah sebagai dicuri atau diperoleh secara tidak sah yang memperuntukkan hukuman penjara tiga bulan dan denda RM500,” katanya.



Beliau berkata, siasatan polis menunjukkan individu yang membenarkan akaun bank mereka digunakan oleh penjenayah sebenarnya mengetahui bahawa mereka tidak boleh mendedahkan sebarang maklumat akaun kepada mana-mana pihak.

“Individu atau syarikat dinasihatkan agar segera menutup akaun bank mereka sekiranya tidak lagi mempunyai kawalan ke atas akaun bank agar ia tidak digunakan untuk kegiatan menyalahi undang-undang.

“Pihak polis akan mengambil tindakan tegas terhadap mana-mana pihak yang membenarkan akaun bank mereka digunakan sebagai akaun keldai untuk dituduh di mahkamah,” katanya.

BHOnline



Related Articles

Leave a Reply

Back to top button