PKP: 4 beranak naik satu van hadiri kenduri didakwa
TAWAU: Enam individu termasuk empat beranak yang menaiki sebuah van untuk menghadiri kenduri sempena Ramadan pada Khamis lalu, masing-masing didenda RM800 oleh Mahkamah Majistret di sini hari ini kerana melanggar Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).
Abdurrasad Arsad, 60, bersama Salbiah Bain, 64, dan dua anak, Raman, 36, serta Rozana, 28, selain Salmawati Safar, 27, dan Mohd Arifin Saiful, 23, dihadapkan di hadapan Majistret Dzul Elmy Yunus yang turut memerintahkan mereka dihukum penjara 10 hari jika gagal membayar denda.
Mahkamah juga mengarahkan Salmawati dan Mohd Arifin yang tidak memiliki dokumen pengenalan diri, dirujuk kepada Jabatan Imigresen.
Enam individu itu didakwa secara bersama berhimpun dalam sebuah kenderaan jenis van dengan maksud menghadiri satu majlis kenduri Ramadan di rumah salah seorang ahli keluarga mereka di Simpang Tanah Merah, Kampung Merotai Besar, kira-kira jam 1.50 petang pada 23 April lalu.
Mereka melanggar Peraturan 6 (1) Peraturan-peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-langkah di dalam Kawasan Tempatan Jangkitan) (No.3) 2020 yang boleh dihukum mengikut Peraturan 11(1) peraturan sama, dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan.
Kesalahan berkenaan boleh dikenakan hukuman denda tidak melebihi RM1,000 atau penjara tidak melebihi enam bulan atau kedua-duanya sekali.
Pendakwaan dikendalikan Pegawai Pendakwa Ibu Pejabat Polis Daerah Tawau (IPD) Tawau, Asisten Superintendan Dg Nor Azarinawaty Ag Kachee, manakala semua tertuduh tidak diwakili peguam.
Dzul Elmy dalam penghakimannya menegaskan, niat untuk menghadiri kenduri adalah baik, namun acara keagamaan termasuk akad nikah, malah solat berjemaah di masjid perlu ditangguhkan berikutan pelaksanaan PKP yang bertujuan mencegah penularan wabak COVID-19.