Isu Rohingya tidak harus bebankan negara – MCA
Isu Rohingya tidak seharusnya dibiarkan menjadi masalah dan beban kepada negara ini.
Naib Presiden MCA, Datuk Tan Teik Cheng berkata, tindakan Tentera Laut Diraja Malaysia dan Tentera Udara Diraja Malaysia memintas cubaan 200 pelarian Rohingya yang menggunakan bot pada dengan 17 April merupakan langkah yang betul.
“Malaysia telah memenuhi tanggungjawab antarabangsa yang dipikul dan Agensi Penguatkuasaan Maritim juga telah mengedarkan makanan kepada orang Rohingya yang cuba memasuki negara secara haram selain menghantar kapal mereka keluar dari perairan negara.
“Malangnya terdapat sebilangan kecil organisasi atau pertubuhan serta ahli politik dalam negara ini mengambil kesempatan dalam isu ini dan membidas serta memburukkan kerajaan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurut beliau, isu Rohingya bukan masalah Malaysia semata-mata dan ia tidak didapat diselesaikan oleh negara ini sahaja.
Kata Teik Cheng, ia harus ditangani secara bersama oleh negara-negara serantau dengan kerjasama anggota ASEAN dan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).
Tambah beliau, selama ini pendirian kerajaan terhadap isu Rohingya di Myanmar adalah konsisten, malah negara ini pernah memberi bantuan kepada kaum etnik itu.
“Namun, dalam keadaan situasi pandemik Covid-19 yang agak kritikal ketika ini, kerajaan mesti memberi keutamaan dalam melindungi kesihatan, keselamatan dan kehidupan rakyat,” ujarnya.