AgroBazaar Online, Nekmatbiz rekod RM12 juta jualan e-dagang

KUALA LUMPUR, 21 Mei — AgroBazaar Online oleh Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) dan Nekmatbiz oleh Persatuan Nelayan Kebangsaan (NEKMAT) sehingga semalam merekodkan jualan pemasaran dalam talian (e-dagang) sebanyak RM12 juta di sekitar Lembah Klang.

Menteri Pertanian dan Industri Makanan Datuk Seri Dr Ronald Kiandee berkata inisiatif pendigitalan pemasaran itu bertujuan memastikan permintaan terhadap produk-produk hasil pertanian berterusan dan boleh dipasarkan terus kepada pengguna.

“Ini adalah sesuatu yang baharu dan luar daripada kebiasaan yang berlaku dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), jika ini diteruskan akan jadi satu bentuk pembelian penjualan barang pertanian secara dalam talian yang menjanjikan sesuatu yang besar pada masa akan datang.



“Kementerian menggalakkan perniagaan dalam talian sebagai satu penumpuan baharu oleh FAMA untuk membantu mengangkat status ekonomi pengeluar, petani, nelayan dan sebagainya dalam menceburi perniagaan ini,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada media selepas melawat Pejabat FAMA Negeri Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur/ Putrajaya, di sini hari ini.

Inisiatif itu telah memanfaatkan hampir 1,500 petani dan 100 usahawan FAMA dan 56,000 nelayan.

Di samping itu, beliau juga berharap perniagaan produk pertanian dan nelayan menggunakan platform ‘business to consumer’ (B2C) dapat dirancak dan dipertingkatkan kepada pasaran yang lebih meluas ke seluruh negara selepas PKP.



“FAMA bukan sahaja tertumpu di Lembah Klang malah akan membuka pusat-pusat operasi perniagaan dalam talian seperti ini di negeri-negeri lain selepas ini. Ia akan jadi satu trend baharu bagi pengguna untuk dapatkan barangan makanan melalui dalam talian,” katanya.

Dalam pada itu, beliau berkata selain menggunakan platform B2C, kementerian juga sedang giat melaksanakan inisiatif jualan e-dagang menggunakan platform ‘business to business’ (B2B) yang telah dimulakan dengan beberapa syarikat.

Sebanyak 10 produk makanan utama yang terjual dalam talian ialah daging pejal segar, tembikai merah new dragon, ayam potong sejuk beku, daging import sejuk beku, tulang rusuk, rock melon, bawang besar merah, daging kambing (bahu) sejuk beku, ubi kentang dan Agromas Kuah Kacang.

— BERNAMA

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker