Malaysia tidak lagi berminat sertai APG di Filipina, tumpu edisi seterusnya

KUALA LUMPUR, 25 Mei — Majlis Paralimpik Malaysia (MPM) menegaskan bahawa badan induk itu tidak berminat untuk menyertai Sukan Para ASEAN (APG) ke-10 di Filipina ketika muncul cadangan supaya temasya tersebut dianjurkan dalam skala kecil.

Presidennya, Datuk Seri Megat D Shahriman Zaharudin berkata fokus MPM kini dialihkan sepenuhnya kepada persiapan menghadapi edisi 2021 di Vietnam.

Beliau berkata Jawatankuasa Paralimpik Filipina (PPC), selaku penganjur, telah membuang banyak masa dan membazirkan duit negara peserta dengan sikap sambil lewa mereka.

Justeru itu, MPM berpendirian bahawa mesyuarat Lembaga Pengelola perlu segera meratifikasi pembatalan APG 2020 tanpa mengambil kira cadangan baharu.



“Kami akan fokus kepada persiapan 2021, tidak perlu kita pening-pening kepala. Kita fokus kepada Program Road to Tokyo dan Road to Vietnam. Saya pun tidak mahu menyusahkan atlet.

“Kami (MPM) tidak mahu membuatkan atlet terpinga-pinga, teragak-agak, tertanya-tanya, tersendu-sendu. Saya tidak mahu buat begitu. Cukuplah drama, sudah cukup dengan apa yang kami alami,” katanya kepada Bernama TV dalam temu bual eksklusif hari ini.

Persekutuan Sukan Para ASEAN (APSF) baru-baru ini mengesahkan menerima notis rasmi pembatalan APG daripada PPC.

Bagaimanapun, tiba-tiba muncul cadangan daripada Majlis Paralimpik Thailand supaya edisi ke-10 temasya itu dianjurkan dalam skala kecil ataupun berbentuk karnival sekali gus mengheret PPC ke dalam dilema manakala pengerusinya, Michael Baredo masih menutup mulut mengenai perkara tersebut.



Edisi ke-10 APG di Filipina sepatutnya berlangsung dari 18 hingga 24 Jan lepas namun ditunda kepada 20 hingga 28 Mac susulan isu belanjawan dan logistik tuan rumah, dan ia ditangguhkan sekali lagi kepada Oktober ini akibat penularan pandemik COVID-19.

Kali terakhir Filipina menjadi tuan rumah untuk temasya itu ialah pada 2005 di Manila.

— BERNAMA



Related Articles

Leave a Reply

Back to top button