Lailer tak sabar kembali ke set

KUALA LUMPUR: Pelakon Riena Diana tidak sabar menghidupkan watak gadis bimbo dan gedik, Laila dalam musim kedua drama rantaian Kampung People yang bakal memulakan penggambaran, tidak lama lagi.

Dijangka menerima skrip minggu ini, Riena atau nama sebenarnya, Nur Qamariena Diana Zulreal berharap penggambaran drama arahan Wan Hasliza itu dapat dimulakan sebaik permit diterima.

“Sepatutnya penggambaran musim kedua ini sudah bermula.

“Tetapi seperti kita sedia maklum, selepas negara dilanda wabak COVID-19, ada sektor pekerjaan diberhentikan buat sementara waktu, termasuk industri seni.

“Saya dimaklumkan syarikat produksi sedang menunggu permit memulakan penggambaran dengan prosedur operasi standard (SOP).

“Pelakon mula diberi skrip minggu ini. Insya-Allah diharap penggambaran dapat bermula secepat mungkin,” katanya kepada BH Online.

Riena mencuri tumpuan penonton dengan watak Laila atau disebut dalam slanga ‘Lailer’, pada musim pertama Kampung People.

Selain Riena, drama ini turut dibintangi Elly Mazlein, Hun Haqeem, Rashidi Ishak dan Datuk Fizz Fairuz.

Riena berkata, dia dimaklumkan beberapa watak baharu akan diperkenalkan dalam musim kedua drama terbabit.

“Saya dimaklumkan pelakon asal dikekalkan. Ada juga watak baharu untuk menceriakan lagi plot cerita,” katanya yang dicungkil bakat melalui program Drama Festival Kuala Lumpur (DFKL) 2017.

Riena yang aktif berlakon sejak 2017 diperkenalkan menerusi drama, Villa Qhazara. Seterusnya, Riena mendapat kepercayaan untuk membawa watak utama menerusi drama Cinta Lemon Madu yang disiarkan portal Tonton.

Riena turut berlakon dalam drama rantaian Nur TV3 membawa watak Dr Qadeeja.

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker