Laporan: Kes Dickson Yeo tiada ancaman terus kepada keselamatan Singapura

SINGAPURA, 26 Julai — Siasatan berhubung kes Dickson Yeo, seorang warga Singapura yang mengaku salah pada 24 Julai lepas terhadap kesalahan bertindak atas arahan pegawai risikan China bagi mendapatkan maklumat sensitif dari Amerika, tidak menampilkan sebarang ancaman terus kepada keselamatan Singapura, lapor Straits Times.

Memetik kenyataan dari Kementerian Hal Ehwal Dalam Negara Singapura (MHA) hari ini, laporan itu menyebut bahawa kementerian berkenaan telah dimaklumkan oleh pihak berkuasa Amerika berhubung penahanan Yeo pada November 2019.

“Rakyat Singapura diharapkan mematuhi undang-undang negara yang mereka lawati atau tinggal,” kata jurucakap MHA yang dipetik oleh laporan itu.



Menurut laporan itu, Singapura akan menghulurkan bantuan konsular kepada Yeo.

“Beliau adalah warga Singapura. Tanggungjawab kita adalah membekalkan bantuan konsular kepadanya, berdasarkan kepada keperluannya,” kata Menteri Luar Singapura Dr Vivian Balakrishnan yang dipetik oleh laporan itu.

Laporan itu berkata Yeo Jun Wei, yang juga dikenali sebagai Dickson Yeo, mengaku salah di mahkamah persekutuan di Washington DC terhadap pertuduhan bertindak sebagai ejen luar secara haram di Amerika Syarikat.

— BERNAMA



Related Articles

Leave a Reply

Back to top button