HARGA KAYU NAIK, KEGIATAN CURI BALAK MENINGKAT

KUANTAN: Kenaikan harga kayu hingga 20 peratus menyumbang kepada peningkatan kegiatan mencuri balak berskala besar dan terancang oleh sindiket tertentu di negeri ini.Pada kadar biasa, satu tan kayu boleh mencecah RM500 hingga RM3,000 mengikut spesis dan saiznya dengan cengal selalunya dijual pada harga paling tinggi.

Ketua Penolong Pengarah (Penguatkuasa), Jabatan Perhutanan Negeri Pahang (JPNP) Nor Azirim Ahmad, berkata beberapa hutan simpan di negeri ini dikesan menjadi tumpuan kegiatan berkenaan yang didalangi individu berpengalaman luas dalam kegiatan mencuri balak.

Katanya, peningkatan kegiatan mencuri kayu menyebabkan JPNP melakukan pelbagai usaha untuk mengesan dan menumpaskan aktiviti itu yang membawa kerugian besar kepada kerajaan negeri.



Nor Azirim berkata, peningkatan kes curi kayu juga disumbangkan oleh perlaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sebelum ini, yang menyebabkan segelintir pelaku tidak dapat berkerja dan beralih melakukan aktiviti menceroboh hutan.

“Minggu lalu dua kes cubaan memindahkan balak berskala besar berlaku di Hutan Simpan Berkelah, di sini dan Hutan Simpan Jengka, Maran dilaporkan.

“Kes di Hutan Simpan Berkelah membabitkan balak pelbagai spesis sebanyak 1,500 tual bernilai lebih RM700,000 selain sindiket turut menebang pokok dalam kawasan tanah kerajaan.

“Bagi kes di Hutan Simpan Jengka sebanyak 105 tual balak pelbagai spesis bernilai lebih RM90,000 ditemui dan masih berada dalam hutan terbabit,” katanya, di sini hari ini.



Beliau berkata, pemeriksaan dalam kawasan hutan seluas kira-kira lima hektar itu menemui 35 tunggul pokok pelbagai spesis seperti meranti, balau dan kempas.

Tambahnya lagi, selain menumpukan kepada kayu bulat atau balak, sindiket terbabit turut menghasilkan kayu bergergaji atau belah selain dipercayai mempunyai rangkaian untuk memasarkan produk berkenaan membabit kilang papan tempatan dan luar Pahang.

“Jabatan mempunyai senarai kilang papan tempatan dan luar Pahang yang sebelum ini terbabit menerima balak curi, beberapa siri serbuan dilakukan sebelum ini yang membawa kepada tindakan undang-undang.

“Kita tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak yang terbabit dengan aktiviti menceroboh hutan simpan seterusnya memindahkan apa juga hasil hutan seperti balak, rotan, buluh dan damar. Mereka yang bersalah boleh didakwa di bawah Akta Perhutanan Negara 1984,” katanya.



BHarian


Discover more from My TV ONLINE

Subscribe to get the latest posts to your email.

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button

Discover more from My TV ONLINE

Subscribe now to keep reading and get access to the full archive.

Continue reading