BETAPA BAHAYANYA JELINGAN MATA KEDUA

Mata adalah anggota tubuh badan yang banyak membantu seseorang insan mengetahui perkara yang berlaku di sekelilingnya.

Banyak perkara boleh diketahui menerusi pandangan mata. Perkara yang utama sepatutnya dilakukan oleh mata ialah menyaksikan kebesaran Allah SWT menerusi penciptaan seluruh makhluk di atas muka bumi ini.

Allah SWT mengingatkan manusia perihal mata yang perlu berfungsi menyaksikan keagungan-Nya. Firman Allah SWT bermaksud:  “(Mengapa manusia terpedaya dan bermegah-megah?) Tidakkah Kami menjadikan baginya dua mata (untuk dia memerhatikan kekuasaan dan kekayaan Kami?).” Surah al-Balad, ayat 8



Manusia yang beriman akan sentiasa menjaga mata yang dikurniakan Allah SWT kepadanya. Sesungguhnya Allah SWT boleh menguji manusia dengan kurniaan mata kepada para hamba-Nya. Ada manusia mendapat pahala menerusi matanya, ada juga yang mengumpul dosa kerana salah menggunakan mata yang dikurniakan kepadanya.

Penyaksian terhadap kehebatan Allah SWT dalam mencipta makhluk di atas dunia ini boleh membangkitkan keinsafan betapa kerdilnya diri manusia. Cuainya manusia apabila tidak menggunakan nikmat mata untuk tujuan mendapat pahala. Malah, Allah SWT memerintahkan manusia untuk melihat ciptaan-Nya dan dengan itu dapat memperakui kehebatan-Nya.

Firman Allah SWT bermaksud: “(Mengapa mereka yang kafir masih mengingkari akhirat) tidakkah mereka melihat keadaan unta bagaimana ia diciptakan? Dan keadaan langit bagaimana ia ditinggikan binaannya? Dan keadaan gunung-ganang bagaimana ia ditegakkan? Dan keadaan bumi bagaimana ia dihamparkan? Oleh itu, berikanlah sahaja peringatan (wahai Muhammad, kepada manusia dan janganlah berdukacita kiranya ada yang menolaknya) kerana sesungguhnya engkau hanyalah seorang rasul pemberi peringatan.”  (Surah al-Ghasyiah, ayat  17-21)

Deretan pertanyaan yang ditujukan kepada orang kafir dalam ayat al-Quran itu menunjukkan keperluan manusia menggunakan mata untuk menyaksikan kehebatan Allah SWT. Manusia sepatutnya boleh berfikir mengenai keagungan Allah SWT selepas melihat penciptaan makhluk di atas muka bumi ini. Malangnya ada manusia yang tidak langsung dapat berfikir setiap pandangan yang dilihat oleh mata sendiri.



Manusia biasanya terjebak dalam dosa disebabkan mata. Inilah antara kelemahan manusia yang tidak dapat menggunakan mata yang dikurniakan oleh Allah SWT dengan sebaiknya. Pandangan mata terhadap perkara yang dilarang oleh Allah SWT mengundang dosa kepada diri manusia sendiri. Contohnya, melihat aurat golongan berlainan jantina dan termasuk dalam kalangan bukan mahram. Perkara ini dilarang oleh Allah SWT kerana ia mengundang perbuatan maksiat seperti perzinaan. Manusia boleh terjebak dalam dosa zina bermula daripada pandangan mata yang tidak dikawal dengan sempurna.

Allah SWT berfirman bermaksud:  “Katakanlah (wahai Muhammad) kepada golongan lelaki yang beriman supaya menyekat pandangan mereka (daripada memandang yang haram) dan memelihara kehormatan mereka. Yang demikian itu lebih suci bagi mereka; sesungguhnya Allah amat mendalam pengetahuan-Nya tentang apa yang mereka kerjakan.”  (Surah an-Nur, ayat 30)

Pada ayat berkenaan Allah SWT menggandingkan dua perkara yang saling berkaitan dalam melakukan maksiat. Pertama ialah perintah agar manusia menjaga pandangan mata dan yang kedua memelihara kehormatan. Ini menunjukkan pandangan mata yang gagal dikawal boleh menyebabkan manusia mengabaikan tanggungjawab mereka untuk menjaga kehormatan.

Begitulah perkaitan rapat antara mata dengan kehormatan manusia yang boleh menyebabkan manusia terjerumus ke dalam lembah kemaksiatan.



Ibnu Kathir dalam tafsirnya ketika menghuraikan ayat 30 daripada Surah an-Nur itu menyatakan:  “Ini perintah daripada Allah SWT kepada hamba-Nya yang beriman untuk menjaga (menahan) pandangan mereka daripada perkara yang diharamkan ke atas mereka. Maka janganlah memandang kecuali kepada perkara yang dibolehkan untuk dipandang. Dan tahanlah pandanganmu daripada perkara diharamkan.”

Tidak dinafikan, adakalanya orang terpandang perkara yang diharamkan oleh Allah SWT. Bukan tujuannya ingin memandang perkara yang haram, namun matanya terpandang. Hal ini lebih-lebih lagi pada zaman yang sangat mencabar sekarang ini untuk seseorang Muslim menjaga pandangannya.

Daripada Jarir bin Abdillah, dia berkata: “Saya bertanya  kepada Rasulullah SAW tentang pandangan yang tiba-tiba (tidak sengaja), maka baginda menyuruh aku memalingkan pandanganku.”  (Hadis riwayat Muslim)

Manakala daripada Buraidah, dia berkata:  “Rasulullah bersabda kepada Ali: ‘Wahai Ali, janganlah engkau mengikuti pandangan (pertama yang tidak sengaja) dengan pandangan (berikutnya), kerana bagi engkau pandangan yang pertama dan tidak boleh bagimu pandangan yang terakhir (pandangan yang kedua).'”  (Hadis riwayat at-Tirmidzi)



Penjelasan Rasulullah SAW berdasarkan dua hadis itu membuktikan setiap orang Islam berkewajipan menjaga pandangan mata. Hatta pandangan yang dikategorikan sebagai tidak sengaja, ia perlu ditangani dengan baik iaitu segera memalingkan pandangan daripada terlihat perkara yang haram. Jelasnya tidak ada istilah pandangan kedua dalam perkara maksiat. Hal ini juga menangkis pandangan sesetengah orang perbuatan terpandang adalah satu ‘rezeki’.

Sebenarnya pandangan mata perlu dikawal bukan sahaja terhad kepada perkara haram seperti aurat bukan mahram dan seumpamanya. Pandangan mata juga perlu dikawal tatkala melihat sesuatu yang boleh mendatangkan penyakit hati. Ada orang memandang nikmat yang diperoleh orang lain dengan pandangan yang boleh menjemput penyakit hasad dalam diri.

Ini juga perkara yang perlu dikawal oleh setiap Muslim. Didiklah mata agar memandang sesuatu nikmat yang dikecapi oleh orang lain dengan pandangan baik. Jangan ada hasad dengki, dengan harapan nikmat yang dikurnia oleh Allah SWT kepada orang lain itu segera hilang daripada dirinya.

Masalah ini boleh berlaku sekiranya pandangan mata gagal dididik agar turut mensyukuri nikmat yang disaksikan oleh mata meskipun nikmat itu milik orang lain.



Ada juga mata yang boleh membawa masalah kepada orang lain. Ini berlaku sekiranya manusia melihat sesuatu pandangan dengan penuh kekaguman sehingga keadaan itu boleh memberi mudarat kepada pandangan dilihatnya.

Ibnu Qayyim al-Jauziyah dalam kitab  at-Tibb an-Nabawi  menyatakan:  “Orang yang memandang sesuatu dengan pandangan kagum boleh menyebabkan ‘ain (sejenis penyakit disebabkan pandangan mata) pada benda yang dilihatnya, maka cegahlah keburukan tersebut dengan mengucapkan  Allahumma barik ‘alaih  (Ya Allah berikan keberkatan kepadanya).”

 Sebab itu, bacalah doa bagi memohon perlindungan kepada Allah SWT untuk bayi. Ini bagi menyelamatkan bayi daripada pandangan mata yang boleh membawa penyakit kepadanya.

Gunakanlah mata yang dianugerah Allah SWT kepada kita sebaik-baiknya. Mata boleh menjadi sebab kita mendapat pahala daripada-Nya. Gunakanlah mata untuk membaca ayat-ayat suci al-Quran. Saksikanlah keindahan alam ciptaan Allah SWT dengan pandangan mengakui kehebatan-Nya. Semua ini boleh mendatangkan pahala dan melayakkan diri memandang Allah SWT di akhirat nanti.



Sabda Rasulullah SAW bermaksud:  “Tidak ada satu pun kenikmatan yang lebih kami cintai daripada memandang wajah Allah Taala.”  (Hadis riwayat Muslim)

Penulis Pensyarah Pusat Pengajian Bahasa Arab, Fakulti Bahasa Dan Komunikasi,  Universiti Sultan Zainal Abidin

hmetro

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button