Tiara Andini rakam lagu komposer Korea Selatan di Malaysia

PENYANYI Indonesia iaitu Tiara Andini meluahkan rasa teruja pertama kali menjejakkan kaki di Malaysia bagi merakamkan single terbaharunya hasil gubahan komposer dari Korea Selatan, Hyuk Shin.

Tiara atau Tiara Anugrah Eka Setyo Andini, 22, berkata, ini juga pertama kali dia merakamkan lagu bergenre rancak memandangkan sebelum ini lebih tertumpu kepada genre balada.

“Lagu ini ada unsur kpop tapi menggunakan bahasa Inggeris dan ada bahagian rap. Ia sangat berbeza daripada lagu-lagu saya sebelum ini.



“Insya Allah saya akan lancarkan tahun ini dan berharap lagu ini diterima baik peminat di Indonesia dan Malaysia.

“Saya juga berharap lagu ini dapat menarik minat pendengar antarabangsa khususnya di Korea Selatan,” katanya kepada mStar.

Tiara ditemui pada majlis Media Gathering Tiara Andini di pejabat Universal Music Malaysia baru-baru ini.

Dalam pada itu, Tiara berkata, impiannya untuk bekerjasama dengan Hyuk Shin akhirnya terlaksana memandangkan dia sendiri peminat lagu kpop.



Meskipun tidak pernah menjejakkan kaki ke Korea Selatan, Tiara berharap dia akan berkesemapatan ke sana suatu hari nanti.

“Saya gembira diperkenalkan dengan komposer ini. Sebenarnya saya seorang peminat lagu-lagu Kpop dan apa-apa juga yang ada kena mengena dengan Korea.

“Saya penggemar muzik, drama, makanan dan budaya Korea Selatan itu sendiri. Peluang kerjasama dengan komposer dari negara itu bagaikan sebuah mimpi.

“Saya sudah berkongsi idea- idea saya untuk dimasukkan dalam lagu berkenaan. Kami juga mungkin merakam beberapa buah lagu lain,” ujarnya.



Dalam perkembangan lain, Tiara juga teruja bakal mengadakan konsert pertamanya di Malaysia pada Jun depan.

“Insya Allah pada Jun akan datang ini saya akan mengadakan konsert di Malaysia. Saya sudah biasa nyanyi tapi perasaan gementar itu masih ada terutama jika melakukan persembahan berskala besar, apa lagi ini pertama kali di sini.

“Saya selalu berinteraksi dengan peminat di Malaysia dan ramai yang memberi sokongan untuk saya buat persembahan di sini,” kongsinya.

Sumber : Mstar




Discover more from My TV ONLINE

Subscribe to get the latest posts to your email.

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button

Discover more from My TV ONLINE

Subscribe now to keep reading and get access to the full archive.

Continue reading