Parlimen Kuwait lulus pelantikan Sheikh Mishal Al-ahmad Al-jaber Al-Sabah sebagai Putera Mahkota

Sheikh Mishal Al-Ahmad Al-Jaber Al-Sabah

KUWAIT CITY, 8 Okt — Parlimen Kuwait meluluskan pelantikan Sheikh Mishal Al-Ahmad Al-Jaber Al-Sabah sebagai Putera Mahkota, lapor agensi berita Xinhua, memetik Agensi Berita Kuwait pada Khamis.

“Saya bersumpah dengan nama Allah untuk menghormati perlembagaan dan undang-undang negara, mempertahankan kebebasan, kepentingan dan harta benda rakyat dan menjaga kebebasan dan integriti wilayah serta negara dan taat setia kepada Emir,” kata Sheikh Mishal Al-Ahmad Al-Jaber Al-Sabah ketika mengangkat sumpah di parlimen.

“Kami mengucapkan tahniah kepada Yang Mulia Sheikh Mishal Al-Ahmad Al-Jaber Al-Sabah untuk ikrar taat setia sebagai Putera Mahkota,” kata speaker parlimen Marzouq Al-Ghanim pada sidang khas yang diadakan Khamis.

Semasa pertemuan dengan Sheikh Mishal Al-Ahmad Al-Jaber Al-Sabah, Emir Kuwait Sheikh Nawaf Al-Ahmad Al-Jaber Al-Sabah menyuarakan keyakinannya dengan kemampuan Sheikh Mishal untuk berkhidmat demi kepentingan negara.



Sehari sebelum itu, Emir menamakan Sheikh Mishal Al-Ahmad Al-Jaber Al-Sabah sebagai Putera Mahkota, menurut Amiri Diwan.

Menurut perlembagaan Kuwait, Putera Mahkota dilantik oleh Emir dalam tempoh selewat-lewatnya setahun, dari tarikh pelantikan Emir.

Pelantikan itu diluluskan Amiri Diwan selepas pencalonan dibuat oleh Emir dan dipersetujui parlimen dengan majoriti.

Jika pencalonan gagal memperoleh majoriti, Emir perlu mengemukakan tiga nama lain, satu daripadanya perlu mendapat persetujuan parlimen.



Dilahirkan pada 1940, Sheikh Mishal Al-Ahmad Al-Jaber Al-Sabah adalah putera ketujuh penguasa ke-10 Kuwait dan saudara lelaki Emir sebelum ini yang meninggal dunia pada 29 September.

Beliau berkhidmat sebagai timbalan ketua Pengawal Nasional Kuwait sejak 2004.

— BERNAMA



Related Articles

Leave a Reply

Back to top button