Ahli Parlimen Kimanis Pula Buat laporan Polis, Nafi Sokong Anwar

KUALA LUMPUR, 10 Okt – Ahli Parlimen Kimanis, Datuk Mohamad Alamin membuat laporan polis berhubung dakwaan pihak tertentu yang kononnya beliau salah seorang Ahli Parlimen yang berada di dalam senarai menyokong Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Dalam laporan berkenaan yang dibuat di Balai Polis Dang Wangi malam tadi, beliau dengan tegas menafikan perkara berkenaan dan tetap dengan pendirian menyokong kepimpinan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

‘’Saya tak kisah pun sekiranya benar Datuk Seri Anwar Ibrahim mempunyai cukup bilang untuk menjadi PM. Tetapi sebagai seorang Ahli Parlimen saya menafikan sekeras-kerasnya menyokong beliau, dan saya mempersoalkan kenapa nama saya telah disenaraikan antara 121 Ahli Parlimen yang konon nya menyokong beliau sebagaimana yang telah banyak diviralkan.

‘’Saya tetap menyokong kepimpinan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin. Justeru, malam tadi saya telah membuat satu Laporan Polis terhadap pihak-pihak yang tidak bertanggungjawab ini,’’ katanya.



Sebelum ini, Anwar mengumumkan mendapat “sokongan dan majoriti kukuh dan meyakinkan” daripada Ahli Parlimen untuk dipersembahkan kepada Yang di-Pertuan Agong bagi membentuk kerajaan baharu.

Anwar yang juga Ketua Pembangkang Dewan Rakyat dijadualkan akan menghadap Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustaffa Billah Shah Selasa ini.

Dalam kenyataannya dua hari lalu, Ahli Parlimen Port Dickson itu dilaporkan berkata, pada majlis mengadap tersebut, beliau akan mempersembahkan keterangan lengkap mengenai jumlah majoriti Ahli Parlimen yang kukuh dan meyakinkan seperti mana yang diumumkan sebelum ini.- UMNO Online



Related Articles

Leave a Reply

Back to top button