Sedih pakaian, peralatan sekolah musnah

Pontian: “Kami tinggal sehelai sepinggang, pakaian seragam dan peralatan sekolah anak semuanya musnah,” kata Azrulafifi Azhar.

Azrulafifi, 26, antara 19 mangsa kebakaran tujuh rumah di Kampung Asam Kumbang, Benut Laut, di sini, malam tadi.

Akibat kejadian 8.56 malam itu, 19 penghuni yang juga penyewa terbabit tinggal sehelai sepinggang apabila rumah separuh kekal musnah 80 peratus.



Azrulafifi yang juga bapa kepada tujuh anak berkata, tiga daripada anaknya masih bersekolah dan semua mangsa sedih kerana pakaian seragam serta peralatan sekolah anak mereka turut musnah.

“Semua pakaian seragam anak saya adalah pakaian lama (setahun sebelum sesi persekolahan 2020) dan saya tidak membeli yang baharu kerana kurang kemampuan dengan pendapatan sederhana.

“Walaupun sedih, kami bersyukur tiada kemalangan nyawa dan kecederaan berlaku,” katanya yang bekerja sebagai pemandu lori.

Azrulafifi ditemui di Pusat Pemindahan Sementara (PPS) di Dewan Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) Parit Seraya Benut.



Menurutnya, kemusnahan pakaian seragam dan peralatan sekolah itu menjadi masalah utama kerana kebanyakan mereka mempunyai anak masih bersekolah dan berpendapatan rendah.

Katanya, dia bersama mangsa lain amat berterima kasih kepada pelbagai pihak termasuk Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Pontian, Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (Fama) Rengit dan penduduk kampung yang menghulurkan bantuan bagi meringankan beban.

Mangsa lain yang enggan dikenali berkata, jika boleh bantuan keperluan anak bersekolah perlu diutamakan pihak berwajib kerana ilmu adalah harta penting dalam kehidupan.

Sementara itu, Pegawai Daerah Pontian, Zulkifly Mohd Tahir yang turut melawat mangsa berkata, beliau amat simpati kepada mangsa berkenaan yang tinggal sehelai sepinggang.



“Bantuan sewajarnya dalam perancangan demi memberi keselesaan kepada mangsa terbabit,” katanya.

Hmetro

Zahid: Timbang semula sokong PN tiada kaitan kes mahkamah



Zahid: Timbang semula sokong PN tiada kaitan kes mahkamah

Zahid: Timbang semula sokong PN tiada kaitan kes mahkamah



Related Articles

Leave a Reply

Back to top button