Polis ambil keterangan Anwar esok

KUALA LUMPUR, 15 Okt — Polis akan mengambil keterangan Datuk Seri Anwar Ibrahim di Bukit Aman esok, berhubung siasatan kes penyebaran senarai nama 121 ahli Parlimen yang didakwa menyokong beliau untuk membentuk kerajaan baharu.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman Datuk Huzir Mohamed berkata keterangan Presiden PKR itu akan diambil oleh Unit Siasatan Jenayah Terkelas (USJT) JSJ Bukit Aman.

“Polis masih menjalankan siasatan berhubung dakwaan itu dan Anwar diminta hadir esok (Jumaat) untuk memberi keterangan,” katanya dalam kenyataan hari ini.



Beliau berkata hingga kini, sebanyak 113 laporan polis diterima berhubung kes itu.

Katanya kes disiasat mengikut Seksyen 505(b) Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia.

Beliau juga menggesa orang ramai agar tidak membuat, menerbitkan atau mengedarkan sebarang kenyataan, khabar angin atau berita mempunyai kecenderungan mencetuskan suasana tidak harmoni, perpecahan serta perasaan permusuhan yang boleh menggugat ketenteraman dan keselamatan awam.

Sebelum ini, media melaporkan temu janji Anwar di Bukit Aman yang dijadualkan pada 13 Okt ditangguh ke satu tarikh lain yang akan dimaklumkan kemudian.



Pada Selasa lepas, Ahli Parlimen Port Dickson itu menghadap Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah di Istana Negara bagi menyampaikan pernyataan yang beliau mempunyai majoriti di Parlimen untuk dilantik selaku perdana menteri.

Pada 23 Sept, Anwar yang juga Ketua Pembangkang, pada satu sidang media mendakwa beliau mendapat sokongan ‘kukuh dan meyakinkan’ daripada ahli Parlimen untuk menubuhkan kerajaan baharu.

— BERNAMA

KERTAS PUTIH FELDA – FAKTA vs AUTA (EPISOD 1)



KERTAS PUTIH FELDA – FAKTA vs AUTA (EPISOD 1)

KERTAS PUTIH FELDA – FAKTA vs AUTA (EPISOD 1)



Related Articles

Leave a Reply

Back to top button