Pandangan Mantan CEO FGV berkaitan Pengambialihan

Ini adalah pandangan YBhg. Datuk Zakaria Arshad ALP. KPF. yang juga Mantan CEO. FGV. berkaitan tawaran TSSM. Kepada FGV. Beliau juga adalah anak Peneroka Felda Wilayah Raja Alias, N9 dan sudah semestinya pandangan beliau dalam tulisannya menjurus kepada kepentingan Felda dan Warga Peneroka Felda*

Assalamualaikum

Saya ingin membawa perhatian ALK mengenai berita hari ini mengenai cadangan TS Syed Mokhtar (TSSM) melalui syarikat Perspective Lane (M) Sdn. Bhd.(PLSB) untuk menguasai 20% saham FGV. TSSM bercadang untuk menyuntik ladang Tradewind yang mempunyai keluasan sebanyak 150,000 ha, syarikat gula CSR dan tawaran kepada pemegang saham yang sedia ada untuk menguasai 20% saham FGV.



Berikut adalah pandangan saya mengenai cadangan ini (berdasarkan maklumat yang diperolehi setakat ini)

Kesan Buruk

  1. Pada masa ini KPF memegang saham dalam FGV sebanyak 4.75%. Jika cadangan TSSM ini berlaku, pegangan saham KPF berkemungkinan besar akan menyusut (diluted) menjadi kira-kira 3% dan saham Felda dari 33% kepada 26%.
  2. Ada kemungkinan harga saham akan menyusut kerana unit saham FGV akan menjadi lebih banyak dipasaran iaitu dari 3.6 biilion unit saham kepada lebih kurang 4.3 billion unit saham
  3. FGV tidak mendapat wang tunai tetapi dalam bentuk asset (ladang Tradewind dan kilang CSR). Ini tidak membantu aliran wang tunai (cash flow) FGV dan sekali gus tidak membantu KPF dan Felda untuk memperolehi wang tunai.

Kesan Baik

  1. Pada tahun lepas, Tradewind memperolehi keuntungan sebanyak RM229.5 juta manakala FGV mempunyai kakitangan ladang yang pengalaman luas. Penggabungan FGV dengan Tradewind dijangka dapat mengujudkan pasukan yang lebih mantap.
  2. Dengan penggabungan ladang FGV ,Tradewind dan kepimpinan TSSM serta Ahli Lembaga FGV sedia ada, ianya akan dapat membentuk sebuah konglemorat ladang kelapa sawit terbesar dunia, yang mempunyai ‘economic of scale’ yang diterajui oleh bumiputra
  3. FGV akan dapat meningkatkan rangkaian pemasaran produk-produk mereka terutama produk hiliran dengan menggunakan rangkaian pemasaran syarikat-syarikat TSSM yang berada dimerata dunia
  4. Sebagai pemegang saham terbesar, sudah pasti TSSM mahukan syarikat ini memperolehi keuntungan sebanyak mungkin. Ini sekali gus menjadikan Felda dan KPF menerima dividen yang lebih tinggi berbanding sekarang.
  5. Felda dan KPF berpeluang menjual sebahagian saham yang dipegang sekarang kepada TSSM dengan harga premium (atas harga pasaran) sekiranga TSSM ingin menjadi pemegang saham tunggal terbesar dalam FGV.
  6. TSSM merupakan usahawan yang mempunyai reputasi ‘no nonsense’. Ini sangat baik untuk kelangsungan syarikat koperat bumiputra seperti FGV dan Felda untuk menjadi organisasi konglomorat bertaraf dunia.
  7. Dapat mengurangkan kebergantungan Felda dari mengharapkan bantuan kewangan dari kerajaan seperti yang berlaku sekarang.

Sementara itu, ada juga beberapa perkara yang perlu diberi perhatian dan masih belum jelas antaranya:



  1. Kedudukan tanah LLA dan kilang-kilang CPO FGV yang baru-baru ini diura-urakan untuk diambil semula oleh Felda
  2. Kedudukan kilang gula MSM yang kini mengalami lebihan kapasiti akan bertambah sulit dengan kemasukan kilang CSR kepunyaan TSSM. Ini juga boleh mengundang ‘anti-trust’.
  3. Kadar penilaian (valuation) yang akan dibuat ke atas asset-aset TSSM yang akan disuntik ke dalam FGV
  4. Kedudukan 10 anak-anak syarikat FGV yang mana KPF mempunyai kepentingan didalamnya.

Marilah kita sama-sama berdoa dan berharap supaya Ahli-Ahli Lembaga Pengarah FGV akan melaksanakan tanggungjawab fidusiari mereka bagi menjamin kepentingan pemegang minoriti seperti KPF terpelihara.

Wassalam,

Dato’ Zakaria Arshad

16/10/2020



Dari FB Zulkefli Nordin

KERTAS PUTIH FELDA – LAPORAN FORENSIK MENGELIRUKAN (EPISOD 3.25)

KERTAS PUTIH FELDA – LAPORAN FORENSIK MENGELIRUKAN (EPISOD 3.25)



Related Articles

Leave a Reply

Back to top button