Jangkaan tinggi menjelang sesi belanjawan di Parlimen

PETALING JAYA: Terdapat banyak jangkaan untuk sesi Parlimen yang mula bersidang hari ini, dengan Belanjawan 2021 akan dibentangkan kerajaan persekutuan Jumaat ini.

Ramai yang menantikan butiran belanjawan itu dan bagaimana ia akan menambah baik kapasiti penjagaan kesihatan kita ketika negara masih berdepan gelombang ke-3 Covid-19.

Terdapat juga cakap-cakap mengenai usul undi tidak percaya terhadap Perdana Menteri, Muhyiddin Yassin di Dewan Rakyat, dengan 25 ahli Parlimen pembangkang disenaraikan dalam Kertas Perintah mengemukakan usul itu.



Penganalisis sosio-politik, Awang Azman Pawi menjangkakan ketegangan di Dewan Rakyat, walaupun gencatan politik diumumkan Umno dan juga kenyataan Yang di-Pertuan Agong menggesa semua ahli Parlimen menyokong belanjawan itu.

Awang Azman Pawi.

“Tiada jaminan gencatan yang dicadangkan pemimpin politik akan mengawal tindakan dan dinamik dalam kalangan ahli parti.

“Selain itu, kerjasama Umno dalam Perikatan Nasional hanya dalam konteks ahli Parlimen, bukan keseluruhan parti. Jadi, sukar untuk menghalang ahli Parlimen bertindak berdasarkan sentimen semasa.

“Oleh itu, tidak mustahil belanjawan akan dihalang kekurangan undi majoriti.”



Beliau turut meramalkan pemimpin Umno tertentu, seperti Ahli Parlimen Gua Musang, Tengku Razaleigh Hamzah mungkin mengundi menentang belanjawan itu.

Sebelum ini, Razaleigh menggesa Speaker Dewan Rakyat, Azhar Harun membenarkan usul undi tidak percaya terhadap Muhyiddin dibentangkan di Parlimen.

“Sukar untuk mendakwanya menentang Agong kerana beliau juga berasal daripada kerabat diraja dan mempunyai pengaruh nasional yang besar,” kata Awang Azman sambil menambah Razaleigh pernah mengkritik sokongan Umno kepada Muhyiddin dan PN.

Beliau berkata, ada yang mengatakan ahli Parlimen DAP tertentu mungkin memberi sokongan kepada Umno atas kapasiti peribadi, khasnya dalam perkara berkaitan kepentingan negara.



Dr Kelvin Yii.

Ahli Parlimen Bandar Kuching, Dr Kelvin Yii daripada DAP, menjangkakan perdebatan hangat mengenai belanjawan, tetapi beliau percaya keputusan muktamad akan dibuat berdasarkan kebajikan rakyat dan negara.

“Saya rasa ia adalah tugas dan tanggungjawab kami sebagai ahli Parlimen untuk meneliti belanjawan,” katanya sambil menambah ini tidak semestinya menandakan undi menentang.

“Kita perlu memastikan belanjawan itu meliputi sebanyak mungkin sektor serta rakyat, dan paling penting ialah ia benar-benar menyasarkan rakyat memerlukan.

“Saya rasa semua menantikan arah mana belanjawan akan menangani keperluan ekonomi, pekerjaan dan pendidikan.”



Secara peribadi, katanya, beliau akan melihat bagaimana belanjawan akan menangani keperluan sistem penjagaan kesihatan, dari segi kemudahan infrastruktur dan sumber manusia.

Sementara itu, Ahli Parlimen Subang, Wong Chen daripada PKR berharap akan ada mesyuarat susulan kepada proses rundingan belanjawan sebelum 6 Nov ini.

Wong Chen.

Katanya, parti itu berharap kerajaan akan melaksanakan cadangan Pakatan Harapan.

“PH sudah mengemukakan cadangan kepada menteri (kewangan) serta meminta beberapa maklumat fiskal lebih baik. Kami berharap kerajaan akan bertindak balas dengan positif dan meminda belanjawan untuk memasukkan cadangan kami.



Semalam, pemimpin PH menemui Menteri Kewangan, Tengku Zafrul Aziz untuk mengemukakan cadangan belanjawan mereka.

Setiausaha Agung PKR, Saifuddin Nasution Ismail berkata, PH belum menentukan jika mereka akan mengundi menyokong atau menentang belanjawan itu.

Ahli Parlimen PAS, Che Abdullah Mat Nawi berkata, ahli Dewan Rakyat perlu memberikan kritikan membina terhadap belanjawan.

Katanya, sangat penting belanjawan itu diluluskan kerana rakyat berdepan pemotongan gaji dan kehilangan pekerjaan secara meluas akibat pandemik.



“Ini tidak bermakna ahli Parlimen tidak boleh berbahas atau memberikan pandangan mereka, tetapi ahli Parlimen perlu memberi pandangan positif dan membina yang boleh membantu kerajaan tampil dengan belanjawan besar yang akan memanfaatkan rakyat.”

Che Abdullah Mat Nawi.

Ahli Parlimen Tumpat di Kelantan itu berkata, kerajaan di bawah Wawasan Kemakmuran Bersama juga perlu membantu merapatkan jurang pembangunan antara Kelantan dan negeri lain.

Rang undang-undang lain yang akan dibentangkan termasuk RUU Koperasi (Pindaan), RUU Racun (Pindaan) dan RUU Suruhanjaya Bebas Tatakelakuan Polis (IPCC).

Bacaan pertama RUU Koperasi (Pindaan) dibentangkan Timbalan Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Mas Ermieyati Samsudin pada Ogos lalu.

Menterinya, Wan Junaidi Jaafar dilaporkan berkata, RUU itu antara lain mencadangkan pindaan untuk mengurangkan jumlah ahli lembaga koperasi daripada 6 orang ketika ini kepada 3 orang.

RUU IPCC pula dibentangkan Timbalan Menteri Dalam Negeri, Ismail Mohamed Said untuk bacaan pertama Ogos lalu. Ia akan menggantikan RUU Suruhanjaya Bebas Aduan dan Salah Laku Polis yang diperkenalkan kerajaan terdahulu.

Salim Bashir.

Antara perubahan yang dicadangkan dalam RUU IPCC ialah untuk suruhanjaya itu diletakkan di bawah bidang kuasa Kementerian Dalam Negeri berbanding Jabatan Perdana Menteri.

Presiden Majlis Peguam, Salim Bashir berkata, kerajaan perlu mempertimbangkan pembentangan undang-undang anti-lompat parti untuk ahli politik disebabkan perkembangan politik baru-baru ini.

“Majlis Peguam juga berharap undang-undang penahanan yang tidak adil dan pencegahan seperti Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-langkah Khas) 2012, Akta Pencegahan Jenayah 1959 (Poca) dan lain boleh dikaji semula secara dimansuhkan.”

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button