80 penduduk terperangkap diselamatkan

Johor Bahru: Seramai 80 penduduk termasuk kanak-kanak di Kampung Batu 10, Skudai, dekat sini, yang terperangkap di rumah mereka selepas air sungai naik mendadak berikutan hujan lebat berjaya diselamatkan anggota bomba, malam ini.

Penolong Kanan Penguasa Bomba, Mohd Ridhuan Akhyar berkata, 13 anggota dari Balai Bomba Penyelamat (BBP) Skudai dikejarkan ke lokasi kejadian selepas menerima panggilan kecemasan.

“Setibanya di lokasi didapati ramai penduduk terperangkap di dalam rumah masing-masing akibat paras air sungai yang naik sehingga 1.21 meter.

“Seramai 80 penduduk termasuk 35 kanak-kanak dan seorang orang kurang upaya (OKU) berjaya diselamatkan dan dipindahkan dengan bot alumunium bomba ke kawasan lebih selamat.

“Semua mangsa banjir dihantar ke Pusat Pemindahan Sementara (PPS) Sekolah Kebangsaan (SK) Batu 10 Skudai.

“Punca banjir berikutan hujan lebat mulai jam 4 petang tadi sehingga air dari empangan berhampiran terpaksa dilepaskan,” katanya dalam kenyataan.

Mohd Ridhuan berkata, operasi memindahkan mangsa banjir turut dibantu Polis Diraja Malaysia (PDRM), Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM), Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

“Operasi menyelamat dan memindahkan mangsa banjir ditamatkan jam 9.45 malam tadi, ” katanya.

Hmetro

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *