Presiden KUFC puas hati pencapaian pasukan

KOTA BHARU, 15 Nov — Presiden Kelab Bola Sepak Kelantan United (KUFC) Datuk Che Abdullah Mat Nawi berpuas hati dengan pencapaian pasukan itu pada saingan Liga Malaysia (Liga-M) musim ini setelah tiga tahun penubuhan.

“Musim 2020 Liga-M telah berakhir. Alhamdulillah, KUFC telah berjaya menamatkan dengan jayanya walau tidak mencapai segala apa yang kita hasratkan (kembali ke Liga Super).

“Setelah muncul juara Liga M3 musim lalu, kami layak secara merit ke saingan Liga Premier musim ini seterusnya mengekalkan tempat untuk saingan musim hadapan.



“Kami juga berjaya menempatkan diri dalam 16 pasukan terbaik yang layak bermain dalam Piala Malaysia 2020,” katanya ketika dihubungi Bernama di sini, hari ini.

Pada saingan Liga Premier musim ini, KUFC berada di kedudukan kelapan sekali gus pasukan itu layak ke cabaran Piala Malaysia walaupun tewas kepada Perak FA pada pusingan pertama, 6 Nov lalu.

Che Abdullah berkata sebagai pasukan yang baharu dalam arena bola sepak negara, KUFC berada pada landasan yang tepat untuk mencipta sesuatu yang gemilang yakni layak bermain sehingga ke saingan Liga Super pada masa hadapan.

“Biarpun belum mencapai apa yang kelab sasarkan, kejayaan KUFC mara sehingga ke Piala Malaysia buat kali pertama dalam sejarah kelab telah mencipta rekod terbaik kepada semua yang terlibat dengan pasukan.



“Kejayaan itu disifatkan satu pencapaian hebat, tatkala pasukan kami tidak diberi harapan oleh para pemerhati bola sepak negara,” katanya.

Di samping itu, beliau merakamkan ucapan penghargaan kepada semua pihak pengurusan termasuk pegawai pasukan, barisan jurulatih dan semua pemain yang menyumbang kepada kejayaan pasukan itu dari mula hingga tamat musim 2020.

“Terima kasih juga kepada kerajaan negeri Kelantan, barisan penaja dan semua penyokong kerana sentiasa bersama pasukan sama ada semasa menang atau kalah, memberi dorongan kepada pegawai dan pemain serta menyokong kewangan dengan tajaan dan pembelian barangan rasmi dari kelab.

“Pastinya, dengan sokongan semua pihak, insya-Allah pasukan ini akan muncul untuk memberikan cabaran yang lebih hebat pada musim 2021,” katanya.



KUFC mahu beri cabaran sengit pada Piala Malaysia

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button