‘Saya rindu ke masjid’

Padang Rengas: “Saya akan pastikan apabila saya sudah boleh berjalan semula nanti, perkara pertama akan saya lakukan adalah pergi ke masjid. Sudah sangat lama saya tak ke masjid walaupun hanya kurang 500 meter dari rumah,” kata Shahrul Anuar Halimi.

Shahrul Anuar, 47, menderita kerosakan salur limfa menyebabkan kaki kanan membengkak dan kini hanya terlantar di rumah bersama isteri dan dua anak di Kampung Buaia, di sini, sejak lebih dua tahun lalu akibat bengkak melebihi 100 kilogram.

Dia berkata, suasana solat di masjid sangat dirinduinya memandangkan sudah hampir lapan tahun tidak ke situ kerana keadaan fizikal tidak mengizinkannya.



Ujian dilalui Shahrul Anuar berat kerana isteri, Intanursyima Abd Halim, 47, adalah pemegang kad Orang Kurang Upaya (OKU) Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) disebabkan beberapa penyakit termasuk angin ahmar selain kedua-dua anak mereka, Muhammad Hakimie, 22, dan Nurul Fatihah, 22, juga OKU.

Muhammad Hakimie yang mengidap cerebral palsy sejak lahir memerlukan perbelanjaan kira-kira RM500 sebulan bagi lampin pakai buang, susu, dan tisu basah serta turut memerlukan perhatian penuh untuk menjaganya manakala Nurul Fatihah OKU masalah pembelajaran.

Keadaan sedemikian menyebabkan Intanursyima yang sebelum ini bekerja sebagai jururawat hospital kerajaan bersara atas sebab kesihatan oleh Lembaga Perubatan sekali gus dapat menumpukan sepenuh perhatian menjaga insan tersayang.

Shahrul Anuar berkata, sebelum ini dia masih mampu sedikit sebanyak membantu isteri mencari nafkah melalui perniagaan kecil-kecilan menjual daging perapan namun sekarang tidak lagi apabila penyakit ‘kaki gajah’ dialaminya kian serius.



“Kira-kira setahun lalu ada juga saya membantu isteri meneruskan perniagaan daging perapan kami namun sekarang saya langsung tidak boleh menolongnya selepas saya terjatuh, dua bulan lalu,” katanya ketika ditemui di kediamannya semalam.

Selain perniagaan secara kecil-kecilan dan wang pencen awal Intanursyima, keluarga itu turut bergantung kepada pencen ilat Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) Shahrul Anuar berjumlah RM745 sebulan yang diterima sejak lima tahun lalu.

Shahrul Anuar berkata, kini 25 peratus atau RM20,000 daripada keseluruhan RM80,000 kos yang diperlukan bagi menjalani pembedahan kakinya sudah dikumpul.

“Lama dulu, doktor pernah memberi kata dua kepada saya sama ada menjalani pembedahan ini atau terus potong saja. Namun apabila sudah menjalar ke atas paha, cadangan sekadar memotong kaki ini sudah tidak lagi realistik.



“Saya difahamkan di Malaysia hanya hospital pakar swasta di Shah Alam saja yang mempunyai kepakaran mengendalikan pembedahan bagi kes seperti saya ini.

“RM80,000 yang diperlukan adalah kos pembedahan semata-mata, tidak termasuk kos sampingan lain seperti caj harian wad, caj jika perlu dimasukkan ke unit rawatan rapi (ICU) dan sebagainya,” katanya.

Orang ramai yang berniat ingin membantu boleh menghubungi Shahrul Anuar di talian 013-5931805 atau menyumbang terus ke akaun Maybank 158097689705 (Shahrul Anuar Halimi).

METRO




Discover more from My TV ONLINE

Subscribe to get the latest posts to your email.

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button

Discover more from My TV ONLINE

Subscribe now to keep reading and get access to the full archive.

Continue reading