Pergaduhan: Polis tahan 15 ahli Geng 18 Batu 14 Puchong

Hebahkan !!!

KUALA LUMPUR, 27 Nov — Seramai 15 lelaki dipercayai ahli Geng 18 Batu 14 Puchong termasuk ketua kumpulannya yang bergelar ‘Datuk’ ditahan selepas terlibat dalam satu pergaduhan di sebuah pusat hiburan yang tular di media sosial, pada Rabu lepas.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kuala Lumpur SAC Nik Ros Azhan Nik Abd Hamid berkata kesemua suspek berusia dalam lingkungan 22 sehingga 49 tahun ditahan selepas pergaduhan dengan empat pengunjung pusat hiburan itu tercetus pada pukul 11.30 malam itu.

Beliau berkata pergaduhan itu bermula apabila kumpulan itu melakukan kekecohan dengan memukul dan memecahkan barang-barang di dalam premis itu kerana penjaga premis tidak membenarkan mereka masuk.

“Kesemua suspek direman lima hari dari 26 hingga 30 Nov dan siasatan dijalankan di bawah Seksyen 147 Kanun Keseksaan kerana merusuh,” katanya dalam kenyataan.

Nik Ros Azhan berkata polis turut menerima satu laporan daripada pemilik premis mengenai kes peras ugut oleh kumpulan berkenaan yang meminta bayaran wang perlindungan dengan kes disiasat mengikut Seksyen 385 Kanun Keseksaan.

Beliau berkata polis turut tidak akan teragak-agak untuk mengambil tindakan mengikut Akta Pencegahan Jenayah 1959 (POCA) dan Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-langkah Khas) 2012 (SOSMA) terhadap kumpulan terbabit.

— BERNAMA

Leave a Reply

%d bloggers like this: