Arab Saudi sambut baik pelantikan Hussein Ibrahim Taha sebagai Setiausaha Agung OIC

 

 

NIAMYE, 30 Nov — Arab Saudi menyambut baik pelantikan Hussein Ibrahim Taha dari Chad sebagai Setiausaha Agung Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) yang baharu, lapor Agensi Berita Arab Saudi (SPA) berdasarkan kenyataan Menteri Luar Arab Saudi.

Menteri Luar Putera Faisal bin Farhan bin Abdullah, mengucapkan selamat maju jaya kepada Hussein Ibrahim Taha untuk tugas baharu yang bakal digalasnya mulai November 2021.

“Kerajaan Arab Saudi menyambut baik pelantikan Taha, sekali gus memenuhi komitmen negara ini terhadap Kumpulan Afrika dan sesuai dengan piagam pertubuhan mengenai pemilihan Setiausaha Agung, yang mencerminkan peluang sama rata antara negara anggota. Arab Saudi menyuarakan sokongan penuh kepada Setiausaha Agung baharu berikutan peranan aktifnya dalam meletakkan kepentingan Islam di seluruh dunia,” kata Putera Faisal dalam kenyataan itu.

Beliau juga menzahirkan terima kasih kepada Setiausaha Agung OIC, Yousef Alothaimeen, atas usaha dan sumbangan besar sepanjang berkhidmat dengan pertubuhan dunia itu.

OIC, dengan keanggotaan 57 negara di empat benua, ditubuhkan pada 1969 dengan tujuan menjaga dan melindungi kepentingan dunia Islam dengan semangat untuk mempromosikan keamanan dan keharmonian antarabangsa dalam kalangan masyarakat dunia.

–BERNAMA

 

Leave a Reply