FAS sasar lebih ramai pemain ikut jejak Luqman Hakim
Luqman Hakim Shamsudin
Oleh Ahmad Nazrin Syahmi Mohamad Arif
KUALA LUMPUR, 30 Nov — Persatuan Bola Sepak Selangor (FAS) mengesahkan telah menandatangani kontrak dengan enam pelajar lepasan Akademi Mokhtar Dahari (AMD) dalam usaha menggalakkan lebih ramai golongan belia mengikuti jejak pemain remaja sensasi Malaysia iaitu Luqman Hakim Shamsudin yang berhijrah ke Eropah.
Luqman Hakim, 18, yang menyertai Selangor II akhir tahun lepas, telah berhijrah ke kelab profesional Belgium iaitu KV Kortrijk pada Ogos lalu selepas menandatangani kontrak selama lima tahun dan FAS melihat perkara itu sebagai pelaburan jangka panjang yang menguntungkan.
Memandangkan Selangor kini maju setapak ke arah profesionalisme, Setiausaha Agung FAS Dr Johan Kamal Hamidon berkata kesemua enam pelatih akan diberikan pembangunan kerjaya terbaik pasca AMD bagi membantu meningkatkan tahap permainan mereka selain mempersiapkan mereka dengan cabaran di luar negara.
“Kesemua pemain ini amat berbakat dan merupakan yang terbaik dalam negara bagi kumpulan umur mereka ketika ini.
“Untuk masa depan Selangor, sudah tentu kami ingin menjadikan mereka sebagai pemain yang lebih baik dan menghantar mereka beraksi di luar negara pada suatu hari nanti.
“Bagi kami, ini lebih kepada pelaburan untuk beberapa tahun akan datang dan berharap mereka menyahut cabaran serta bangkit pada kesempatan ini dengan mempamerkan potensi masing-masing kerana perjalanan masih jauh untuk mereka mempersiapkan diri bahkan untuk bermain di luar negara,” katanya kepada Bernama hari ini.
Semalam, Bernama melaporkan bahawa 12 daripada 40 pelajar lepasan generasi kedua AMD menandatangani kontrak antara dua hingga tiga tahun dengan juara Liga Super iaitu Johor Darul Ta’zim (JDT) dan Selangor.
Antara pemain tengah terbaik skuad itu, Ziad El Basheer dan penyerang Muhammad Najmudin Akmal Kamal Akmal menandatangani kontrak dengan JDT manakala pemain pertahanan berpotensi Muhammad Faiz Amer Runnizar memilih skuad The Red Giants.
Johan Kamal berkata FAS telah memantau kemajuan kesemua enam pelatih berusia 17 tahun itu dengan teliti sebelum membuat keputusan muktamad.
“Kami mempunyai rangkaian serta pencungkil bakat kami sendiri untuk melihat kesemua pemain dan menilai prestasi mereka dalam kejohanan di bawah kategori umur mereka. Kami gembira dengan apa yang kami saksikan dan pencungkil bakat juga meminta kami memilih kesemua pemain ini,” katanya.
Bercakap mengenai potensi pemain yang bakal mengikut jejak Luqman Hakim, Johan Kamal berkata agak sukar untuk seorang remaja beraksi di luar negara terutama di Eropah jika tidak bersedia sepenuhnya.
Beliau berkata pemain muda memerlukan lebih banyak masa serta pengalaman beraksi di peringkat senior sebelum didedahkan kepada intensiti permainan di peringkat antarabangsa.
“Sudah tentu itu yang kami mahukan… kami ingin meneruskan aspirasi program ini tetapi tidak semestinya untuk beraksi di Eropah.
“Meskipun mereka berbakat namun mereka masih belum bersedia dan kadangkala mereka perlu menjadi lebih matang dalam permainan mereka, jadi kami berharap Selangor boleh memainkan peranan penting dalam pembangunan pemain-pemain ini,” katanya.
— BERNAMA